KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah dalam kebanyakan indeks hari ini berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang suram telah mencetuskan kebimbangan terhadap unjuran pendapatan korporat, menurut penganalisis.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.44 mata kepada 1,445.30 daripada 1,454.74 pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka rendah 4.29 mata kepada 1,450.45.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 237 kepada 65, manakala 154 kaunter tidak berubah, 1,850 tidak diniagakan dan 89 yang lain digantung dagangannya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street merosot selepas dibuka kukuh berikutan pengeluaran data ekonomi AS yang menghampakan.

Purata Perindustrian Dow Jones susut 491 mata, manakala Nasdaq berkurangan sebanyak 343 mata.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI ditutup tinggi semalam berikutan aktiviti belian pada saat-saat akhir, terutamanya daripada dana asing.

"Bagaimanapun, kami berpendapat, belian sedemikian mungkin lenyap hari ini susulan kelemahan di Wall Street, sekali gus kami meramalkan indeks itu untuk bergerak antara julat 1,440-1,460," kata Thong kepada Bernama.

Sementara itu, harga minyak mentah meneruskan peningkatan apabila ditutup kepada RM5,160 satu tan semalam, manakala minyak mentah Brent crude mencapai ke arah paras US$120 satu tong susulan pengurangan inventori.

Antara saham wajaran tinggi, Sime Darby Plantation turun 13 sen kepada RM4.30, Public Bank jatuh empat sen kepada RM4.42, Press Metal Aluminium merosot tujuh sen kepada RM4.79, PPB Group menyusut 40 sen kepada RM15.70, CIMB menguncup empat sen kepada RM4.96 dan Maybank turun tiga sen kepada RM8.61.

Bagi saham aktif, Hibiscus Petroleum jatuh tiga sen kepada RM1.00, Bina Puri merosot setengah sen kepada empat sen, Dynaciate menokok setengah sen kepada 12.5 sen dan Cypark turun dua sen kepada 43 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 73.05 mata kepada 10,302.80, Indeks FBM Emas Syariah merosot 82.93 mata kepada 10,472.81, FBM 70 turun 112.10 mata kepada 12,422.15, FBM ACE menguncup 23.58 mata kepada 4,771.28, dan Indeks FBMT 100 turun 71.43 mata kepada 10,039.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 87.67 mata kepada 16,026.19, Indeks Perladangan turun 79.23 mata kepada 6,962.94 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.20 mata kepada 183.36.

-- BERNAMA