BISNES
Bursa Malaysia dibuka tinggi namun alami penurunan selepas itu
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.28 mata kepada 1,510.36 daripada 1,511.64 ketika ditutup semalam. -Gambar fail/Dagang News
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka sedikit tinggi pada Rabu namun mengalami penurunan selepas itu, menjejaki prestasi lemah semalaman Wall Street.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka sedikit tinggi tetapi kemudiannya susut, menjejaki prestasi lemah Wall Street akibat ketegangan antara Israel dan Iran.
- Sentimen pelabur terjejas oleh aliran keluar dana asing dan ketidaktentuan geopolitik, dengan FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,500 hingga 1,520.
- Beberapa saham berwajaran tinggi mencatat perubahan kecil, manakala sektor tenaga dan perindustrian menunjukkan sedikit peningkatan di sebalik penurunan indeks utama.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.28 mata kepada 1,510.36 daripada 1,511.64 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.25 mata lebih tinggi kepada 1,511.89.
Pasaran secara menyeluruh berada dalam keadaan negatif dengan 138 kaunter rugi mengatasi 106 kaunter untung manakala 206 kaunter tidak berubah, 1,956 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 82.81 juta saham bernilai RM37.30 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatatkan penurunan berikutan semakin pudar harapan terhadap penyelesaian segera ketegangan antara Israel dan Iran.
Di Asia, indeks-indeks utama ditutup bercampur-campur apabila para pelabur bimbang terhadap ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Di Hong Kong, Indeks Hang Seng turun 0.3 peratus disebabkan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan kukuh berterusan pada Isnin.
Di peringkat tempatan, FBM KLCI ditutup rendah pada Selasa kerana pelabur enggan membuat pegangan jangka masa panjang ekoran ketidaktentuan global yang meningkat dan turun naik pasaran.
"Selain itu, aliran keluar dana asing menjejaskan lagi sentimen pelabur.
"Kami menjangkakan indeks penanda aras kekal dalam julat antara 1,500 hingga 1,520 hari ini, mencerminkan ketidaktentuan pasaran yang ketara," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing menambah 1.0 sen kepada RM9.56, RM4.23 dan RM6.90. Tenaga susut 4.0 sen kepada RM14.26, manakala CIMB turun 3.0 sen kepada RM6.63.
Antara saham paling aktif, KHPT Holdings dan Velesto Energy masing-masing kekal pada 13.5 sen dan 18.5 sen, Mpire Global turun 1.0 sen kepada 10 sen, Alam Maritim Resources susut setengah sen kepada 3.0 sen, dan NexG merosot 1.5 sen kepada 34.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 14.46 mata kepada 11,288.82, Indeks FBMT 100 susut 16.96 mata kepada 11,065.58, dan Indeks FBM Emas Syariah turun 2.95 mata kepada 11,315.42.
Indeks FBM 70 menguncup 54.81 mata kepada 16,168.19, namun Indeks FBM ACE naik 1.85 mata kepada 4,444.82.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan kurang 3.91 mata kepada 7,246.83, manakala Indeks Tenaga menokok 6.81 mata kepada 745.58.
Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 42.65 mata kepada 17,353.91, namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.31 mata kepada 150.46.
-- BERNAMA