KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin seiring dengan prestasi positif di Wall Street pada minggu lepas, kata seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.75 mata kepada 1,621.15 daripada paras penutup 1,619.40 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 1.27 mata kepada 1,620.67.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 294 berbanding 166, dengan 341 kaunter tidak berubah, 1,606 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 322.98 juta saham bernilai RM155.31 juta.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup positif susulan aktiviti cergas saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) diterajui Nvidia, meskipun jangkaan bahawa Rizab Persekutuan kemungkinan besar tidak akan menurunkan kadar dalam tempoh terdekat ini.

"Indeks Dow Jones Industrial Average naik 4.29 mata manakala Indeks Komposit Nasdaq melonjak sebanyak 184.79 mata untuk ditutup pada paras tertinggi dalam sejarah apabila hasil 10 tahun AS susut kepada 4.46 peratus," katanya kepada Bernama.

Di bursa tempatan, beliau menjangkakan aktiviti membeli saham berharga rendah muncul hari ini susulan laporan pendapatan korporat yang agak baik setakat ini.

"Selain syarikat sektor perladangan kebanyakan syarikat sektor lain mencatatkan pendapatan menggalakkan bagi tempoh suku pertama 2024.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks berlegar antara paras 1,615-1,625 hari ini," katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank naik satu sen setiap satu masing-masing kepada RM9.99 dan RM4.18, Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM13.08 manakala CIMB dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing kepada RM6.88 dan RM6.93.

Dalam kalangan saham cergas, Dagang Nexchange naik 2.5 sen keada 47.5 sen, Advance Information Marketing meningkat satu sen kepada sembilan sen manakala Sapura Energy, Pegasus Heights dan AHB Holdings tidak berubah masing-masing pada 4.5 sen, setengah sen dan 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 27.15 mata kepada 12,380.98, Indeks FBMT 100 berkembang 25.16 mata kepada 11,973.41 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 43.02 mata kepada 12,673.77, Indekd FBM ACE naik 46.80 mata kepada 5,590.95 dan Indeks FBM 70 menokok 87.10 mata kepada 17,879.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 17.10 mata kepada 17,706.10, Indeks produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.37 mata kepada 197.02, Indeks Tenaga menokok 3.02 mata kepada 1,004.55 manakala Indeks Perladangan susut 7.13 mata kepada 7,295.25.

-- BERNAMA