Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 8.36 mata kepada 1,727.39 daripada 1,735.75 pada minggu sebelumnya. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat minggu depan, bergerak antara paras 1,740-1,750 mata.

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata asas domestik negara yang berdaya tahan akan terus menyokong bursa tempatan.

Bagaimanapun beliau berpandangan pelaburan ekuiti swasta serantau yang bertambah baik boleh menyebabkan pelabur institusi membawa keluar modal daripada FBM KLCI, memandangkan komposisinya yang agak defensif dan pendedahan terhad kepada sektor pertumbuhan tinggi.

Pemangkin utama termasuklah harga minyak, perkembangan konflik Iran-AS dan data aktiviti China pada Julai.

"Keseluruhan, kami yakin pasaran akan meningkat dari semasa ke semasa namun kami tidak merasakan indeks kekal pada paras semasa, kerana kenaikan seterusnya pasaran serantau berkemungkinan memberi sokongan kepada pasaran dan sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh,” kata Sedek.

Ketua penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee pula berkata pasaran tidak berada dalam tekanan sejak beberapa hari lepas disokong oleh data inflasi AS yang semakin menurun. 

“Bagaimanapun, jika jualan runcit akan datang tinggi, kita mungkin akan melihat munculnya aktiviti pengambilan untung. Kami akan memantau pendapatan daripada saham berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan ekonomi Malaysia tumbuh 6.0 peratus pada suku kedua 2026, mengatasi unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.8 peratus.

Bank pusat memaklumkan pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik yang berterusan dan eksport kukuh.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ekonomi Malaysia kekal berada di landasan yang kukuh.

"Pertumbuhan 2026 diunjurkan kekal dalam jajaran 4.0-5.0 peratus, dengan perkembangan terkini menunjukkan bahawa pertumbuhan keseluruhan mungkin sekitar 5.0 peratus.

“Walaupun prospek akan datang terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendepani cabaran ini disokong oleh dasar yang kukuh,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 8.36 mata kepada 1,727.39 daripada 1,735.75 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 18.81 mata kepada 12,815.44, Indeks 100 Teratas FBM turun 33.94 mata kepada 12,626.26, dan Indeks Syariah FBM Emas berkurangan 34 mata kepada 12,629.23.

Indeks FBM Mid 70 meningkat 66.67 mata kepada 18,18,293.19 manakala Indeks FBM ACE melonjak 214.83 mata kepada 5,294.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 80.50 mata kepada 20,336.03, Indeks Perladangan turun 213.68 mata kepada 9,327.40 manakala Indeks Tenaga menambah 21.07 mata kepada 779.46.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sebanyak 0.77 mata kepada 187.23.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.66 bilion unit bernilai RM14.42 bilion daripada 16.22 bilion unit bernilai RM15.34 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 8.91 bilion unit bernilai RM12.59 bilion daripada 8.26 bilion unit bernilai RM12.71 bilion.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 5.30 bilion unit bernilai RM719.94 juta daripada 5.33 bilion unit bernilai RM710.62 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 3.42 bilion unit bernilai RM1.11 bilion daripada 2.61 bilion unit bernilai RM913.58 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement