Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat minggu depan

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pasaran dijangka kekal dalam fasa konsolidasi berikutan pelabur terus menilai prestasi pendapatan korporat yang berdaya tahan berbanding jualan berterusan oleh pelabur asing. - Gamba fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat minggu depan, dengan indeks petunjuk pasaran dijangka berada dalam julat 1,725 hingga 1,750 mata, kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata pasaran dijangka kekal dalam fasa konsolidasi berikutan pelabur terus menilai prestasi pendapatan korporat yang berdaya tahan berbanding jualan berterusan oleh pelabur asing serta ketidaktentuan mengenai kadar faedah global dan perkembangan geopolitik.

“Walaupun pendapatan korporat dijangka kekal baik, aliran keluar bersih dana asing yang berterusan dalam beberapa minggu ini telah mengehadkan potensi kenaikan indeks,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mengekalkan trajektori meningkat minggu depan walaupun mungkin terdapat aktiviti pengambilan untung jika indeks melepasi paras 1,740 mata berikutan kenaikan yang dicatatkan baru-baru ini.

Beliau berkata hala tuju pergerakan hasil bon global akan terus menjadi faktor penting terutamanya bagi sektor perbankan Malaysia.

“Kenaikan hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh 10 tahun baru-baru ini telah meningkatkan kadar diskaun global dan memberi tekanan terhadap penilaian bank apabila pelabur menilai semula kos pembiayaan dan prospek margin faedah bersih.

“Pemulihan berterusan dalam saham sektor perbankan Malaysia dijangka memerlukan hasil bon global yang lebih stabil, disokong oleh pendapatan domestik yang berdaya tahan dan aliran masuk pelaburan yang lebih baik,” katanya.

Mohd Sedek berkata pasaran dijangka kekal positif tetapi menjadi lebih berhati-hati, dengan paras 1,740 mata, hasil bon Perbendaharaan AS, harga minyak mentah Brent dan aliran dana asing dijangka menentukan kemampanan fasa kenaikan seterusnya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 9.09 mata kepada 1,736.48 daripada 1,727.39 dicatatkan minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.84 mata kepada 12,832.28, Indeks FBM Top 100 naik 24.66 mata kepada 12,650.92 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 12.56 mata kepada 12,641.79.

Indeks FBM ACE melonjak 39.01 mata kepada 5,333.79 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 142.15 mata kepada 18,151.04.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 113.25 mata kepada 9,440.65, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 70.63 mata kepada 20,440.65, Indeks Tenaga berkurangan 2.43 mata kepada 777.03 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.01 mata kepada 187.22.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.70 bilion unit bernilai RM15.92 bilion daripada 17.66 bilion unit bernilai RM14.42 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 9.84 bilion unit bernilai RM13.95 bilion daripada 8.91 bilion unit bernilai RM12.59 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.60 bilion unit bernilai RM745.83 juta daripada 5.30 bilion unit bernilai RM719.94 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 3.15 bilion unit bernilai RM1.60 bilion daripada 3.42 bilion unit bernilai RM1.11 bilion pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement