BISNES
Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah selepas penurunan kadar OPR

Pada 5 petang, FBM KLCI susut 0.90 mata kepada 1,529.24 berbanding 1,530.14 pada penutupan Selasa. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengurangkan penyusutan pada awal sesi dagangan untuk ditutup hampir tidak berubah pada Rabu, turun hanya 0.06 peratus, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM hari ini menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 0.90 mata kepada 1,529.24 berbanding 1,530.14 pada penutupan Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.14 mata lebih rendah pada 1,529.0, meningkat setinggi 1,532.62 pada sesi pagi sebelum susut ke paras terendah harian 1,523.21 pada pertengahan petang.Secara keseluruhan, pasaran berada dalam keadaan positif dengan 559 kaunter untung mengatasi 371 kaunter rugi, manakala 525 kaunter tidak berubah, 952 kaunter tidak diniagakan dan sembilan kaunter digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.95 bilion saham bernilai RM1.99 bilion, berbanding 3.06 bilion saham bernilai RM2.20 bilion pada Selasa.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pengurangan OPR itu dilihat sebagai langkah awal berikutan petunjuk permintaan global yang semakin lemah dan momentum pertumbuhan domestik yang perlahan.
"Mengikut sektor, kaunter kewangan terus mencatat penurunan prestasi, dengan bank-bank mengalami penyusutan untuk tiga sesi berturut-turut. Ini telah menekan Indeks Perkhidmatan Kewangan Bursa Malaysia," katanya kepada Bernama.
Beliau turut berkata FBM KLCI melanjutkan trend pembetulan harga susulan risiko luaran baharu, termasuk langkah mengenakan tarif timbal balik 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia, yang telah mengubah dinamik aliran portfolio asing secara ketara.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng pula berkata indeks serantau menunjukkan prestasi bercampur-campur di tengah-tengah kebimbangan mengenai skop langkah tarif perdagangan Presiden AS Donald Trump.
"Untuk tempoh berbaki minggu ini, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,520 hingga 1,540, dengan paras 1,520 sebagai sokongan penting, manakala 1,540 hingga 1,550 menjadi sasaran kenaikan seterusnya sekiranya sentimen bertambah baik," katanya.
Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Public Bank susut lapan sen kepada RM4.26, CIMB turun empat sen kepada RM6.57, dan AMMB susut tujuh sen kepada RM5.09. Maybank tidak berubah pada RM9.70, IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM6.67, manakala Tenaga Nasional naik 14 sen kepada RM14.00.
Bagi kaunter aktif, saham yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, iaitu PMCK dan NexG masing-masing menambah satu sen kepada 23 sen dan 44.5 sen. Tanco kekal pada 89 sen, Malaysian Resources naik 5.5 sen kepada 56 sen, manakala Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 95.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 16.08 mata kepada 11,484.22, Indeks FBMT 100 meningkat 11.63 mata kepada 11,249.54, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 54.45 mata kepada 11,486.89.
Indeks FBM 70 meningkat 97.04 mata kepada 16,634.94, manakala Indeks FBM ACE naik 24.29 mata kepada 4,496.63.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 104.43 mata kepada 17,505.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.53 mata kepada 153.22, manakala Indeks Perladangan meningkat 50.16 mata kepada 7,479.08, dan Indeks Tenaga naik 3.36 mata kepada 736.90.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.31 bilion unit bernilai RM1.74 bilion daripada 1.51 bilion unit bernilai RM1.98 bilion pada Selasa.
Dagangan waran turut menurun kepada 1.25 bilion unit bernilai RM134.91 juta daripada 1.35 bilion unit bernilai RM154.21 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 382.69 juta unit bernilai RM116.98 juta berbanding 194.48 juta unit bernilai RM67.28 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 174.26 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (158.82 juta), pembinaan (86.40 juta), teknologi (191.23 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (65.87 juta), hartanah (223.92 juta), perladangan (16.24 juta), REIT (17.41 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (64.34 juta), penjagaan kesihatan (221.76 juta), telekomunikasi dan media (31.69 juta), pengangkutan dan logistik (14.67 juta), utiliti (48.01 juta), dan amanah perniagaan (171,300).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami