BISNES
Bursa Malaysia ditutup kukuh dipacu sentimen pasaran yang meningkat
Pada 5 petang, FBM KLCI menokok 8.37 mata menghampiri paras tertinggi intra hari 1,528.16 daripada 1,519.79 ketika ditutup pada Rabu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri minggu yang singkat ini dengan prestasi yang positif pada Khamis apabila indeks utama naik 0.55 peratus berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah serta sentimen pasaran yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 8.37 mata menghampiri paras tertinggi intra hari 1,528.16 daripada 1,519.79 ketika ditutup pada Rabu.
FBM KLCI, yang dibuka 0.45 mata lebih tinggi kepada paras terendah harian 1,520.24, bergerak dalam aliran menaik sepanjang sesi pagi dan terus mencatat kenaikan pada akhir dagangan.
Pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 509 berbanding 409, manakala 492 kaunter tidak berubah, 1,028 tidak diniagakan dan 102 digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 2.90 bilion unit bernilai RM2.23 bilion berbanding 3.15 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau utama berakhir dengan bercampur-campur apabila pelabur cuba mengimbangi antara berita peluang perdamaian yang berkekalan di Timur Tengah dan risiko negatif berkaitan tarikh akhir pelaksanaan tarif AS yang semakin hampir.
Di pasaran tempatan, beliau berkata indeks penanda aras menunjukkan petanda positif apabila mula mengejar prestasi rakan serantau selepas tempoh prestasi yang kurang memberangsangkan.
"Minat belian yang diperbaharui dan sentimen yang bertambah baik membantu mengecilkan jurang prestasi, sekali gus memberi isyarat kepada unjuran pasaran tempatan yang lebih konstruktif.
"Kenaikan ini juga mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat dan berpotensi untuk terus meraih momentum dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing naik dua sen kepada RM9.81, RM14.26 dan RM6.72, manakala Public Bank menambah empat sen kepada RM4.34 dan CIMB naik tiga sen kepada RM6.80.
Bagi kaunter paling aktif, Tanco tidak berubah pada 93 sen, Reservoir Link susut dua sen kepada 20.5 sen, Green Ocean turun 2.5 sen kepada sembilan sen, SNS Network merosot 1.5 sen kepada 54.4 sen, manakala YTL Corp naik 13 sen kepada RM2.27 dan YTL Power melonjak 20 sen kepada RM3.90.
Di papan indeks, FBM Emas meningkat 52.24 mata kepada 11,398.80, FBMT 100 naik 52.96 mata kepada 11,181.36, dan FBM Emas Shariah menambah 39.35 mata kepada 11,341.13.
Indeks FBM 70 menokok 40.56 mata kepada 16,270.66, manakala FBM ACE meningkat 15.79 mata kepada 4,474.76.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 74.10 mata kepada 17,737.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.77 mata kepada 151.98, Indeks Perladangan melonjak 98.83 mata kepada 7,329.02, dan Indeks Tenaga menokok 4.57 mata kepada 732.68.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurang kepada 1.30 bilion unit bernilai RM1.95 bilion berbanding 1.34 bilion unit bernilai RM1.96 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran pula menyusut kepada 1.26 bilion unit bernilai RM169.56 juta berbanding 1.48 bilion unit bernilai RM193.88 juta sebelumnya.
Pasaran ACE mencatat peningkatan jumlah dagangan kepada 334.31 juta unit bernilai RM106.81 juta, berbanding 332.13 juta unit bernilai RM111.47 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 257.09 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (224.37 juta), pembinaan (68.65 juta), teknologi (159.00 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (67.12 juta), hartanah (147.73 juta), perladangan (18.69 juta), REIT (21.77 juta), dana tertutup (4,000), tenaga (138.74 juta), penjagaan kesihatan (58.45 juta), telekomunikasi dan media (46.02 juta), pengangkutan dan logistik (18.96 juta), utiliti (76.56 juta), dan amanah perniagaan (60,600).
Sementara itu, Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup esok, 27 Jun sempena cuti umum Awal Muharam.
-- BERNAMA