Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi susulan pelabur meneliti pendapatan syarikat

Pada 5 petang, FBM KLCI menambah 2.66 mata atau 0.17 peratus kepada 1,614.20 daripada 1,611.54 ketika ditutup pada Rabu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini apabila pelabur meneliti laporan pendapatan syarikat selain memantau mengenai perkembangan pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 2.66 mata atau 0.17 peratus kepada 1,614.20 daripada 1,611.54 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 2.62 mata lebih tinggi pada 1,614.16 dan berlegar-legar antara 1,611.62 dan 1,615.18 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan 607 kaunter rugi mengatasi 393 kaunter untung manakala 514 kaunter tidak berubah, 1,196 tidak diniagakan dan 101 lagi digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 3.46 bilion unit bernilai RM2.62 bilion daripada 2.73 bilion unit bernilai RM2.37 bilion pada Rabu.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kaunter pengguna dan utiliti menerajui kaunter untung dalam kalangan komponen indeks utama, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap prospek ekonomi Malaysia dan unjuran perdagangan negara.
"Di seluruh rantau, pasaran Asia bercampur-campur susulan pertemuan di antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan yang menghasilkan persetujuan secara umum bagi meredakan ketegangan perdagangan.
"Secara global, sentimen kekal berhati-hati walaupun Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedah persekutuan sebanyak 25 mata asas kepada 3.75 hingga 4.00 peratus, menandakan situasi yang lebih dalam penyesuaian pada waktu tanda-tanda pertumbuhan global yang perlahan," katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, Mohd Sedek berkata sentimen menjadi lebih berhati-hati selepas Bursa Malaysia Bhd melaporkan pendapatan yang lebih lemah bagi sembilan bulan pertama 2025 dan semakan semula ke bawah terhadap sasaran prestasi tahunan menunjukkan normalisasi berterusan dalam aktiviti dagangan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing naik dua sen kepada RM9.89 dan RM13.32 manakala Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.22, CIMB Group merosot tujuh sen kepada RM7.31 dan IHH Healthcare susut lima sen kepada RM8.20.
Dalam kalangan saham paling aktif, Borneo Oil, Zetrix AI dan TWL Holdings kekal tidak berubah pada setengah sen, masing-masing 81.5 sen dan 2.5 sen.
Perak Transit berkurang dua sen kepada 36.5 sen manakala Tanco menokok setengah sen kepada 93 sen.
Dalam kalangan saham paling untung termasuk Nestle yang melonjak RM1.30 kepada RM110.50, Chin Teck Plantations naik 42 sen kepada RM11.74, syarikat penyenaraian sulung bagi Pasaran LEAP, LPC Group meningkat 40 sen kepada 50 sen, Petronas Dagangan menambah 38 sen kepada RM22.68 dan United Plantations yang mengukuh 36 sen kepada RM24.64.
Dalam kalangan saham paling rugi, Malaysian Pacific Industries turun 86 sen kepada RM30.26, LTKM merosot 12 sen kepada RM1.44, Oriental Holdings susut 10 sen kepada RM6.83, Heitech Padu berkurang sembilan sen kepada RM1.91 dan Southern Cable kehilangan lapan sen kepada RM2.04.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 2.40 mata kepada 12,051.30, Indeks FBMT 100 melemah 0.09 mata kepada 11,792.47, Indeks FBM Emas Shariah mengecil 14.44 mata kepada 12,125.13 dan Indeks FBM 70 turun 84.85 mata kepada 17,077.14 manakala Indeks FBM ACE menambah 4.28 mata kepada 5,229.84.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 23.65 mata kepada 18,193.25 dan Indeks Perladangan berkembang 58.18 mata kepada 8,020.17 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.67 mata kepada 171.50 serta Indeks Tenaga hilang 6.59 mata kepada 768.43.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurang kepada 1.67 bilion unit bernilai RM2.30 bilion daripada 1.99 bilion unit bernilai RM2.18 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.40 bilion unit bernilai RM152.73 juta daripada 352 juta unit bernilai RM31 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 386.48 juta unit bernilai RM165.60 juta daripada 368.17 juta unit bernilai RM157.61 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 306.55 juta saham dagangan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (338.10 juta), pembinaan (107.04 juta), teknologi (245.37 juta), perkhidmatan kewangan (67.96 juta), hartanah (255.04 juta), perladangan (33.02 juta), dana pelaburan hartanah (22.46 juta), dana tertutup (40,000), tenaga (93.48 juta), penjagaan kesihatan (92.24 juta), telekomunikasi dan media (57.55 juta), pengangkutan dan logistik (33.50 juta), utiliti (22.03 juta) serta amanah perniagaan (494,000).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


