Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Bursa Malaysia ditutup rendah

Bernama 26/08/2025 | 13:15 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI merosot 20.86 mata atau 1.30 peratus untuk ditutup kepada 1,581.59 daripada 1,602.45 semasa ditutup pada Isnin. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri peningkatan selama tiga hari untuk ditutup pada paras terendah harian hari ini berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas mencatatkan kenaikan kukuh baru-baru ini sejajar dengan prestasi kurang menggalakkan di pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 20.86 mata atau 1.30 peratus untuk ditutup kepada 1,581.59 daripada 1,602.45 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.45 mata kepada 1,602.90 dan kemudiannya mencatatkan paras tertinggi harian pada 1,604.52 dalam dagangan awal.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 635 berbanding 407 manakala 495 kaunter tidak berubah, 1,091 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 4.30 bilion unit bernilai RM6.46 bilion daripada 2.90 bilion unit bernilai RM3.17 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama turut ditutup rendah berikutan pelabur mengambil keuntungan menjelang ucapan oleh ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) hari ini mengenai hala tuju kadar faedah AS.

"Pada peringkat domestik, kami kekal positif terhadap pasaran tempatan berikutan aktiviti pengambilan untung hari ini yang telah dijangka dan dilihat sebagai pembetulan yang baik untuk meneliti aliran kenaikan baru-baru ini.

"Kami menjangka konsolidasi jangka pendek sebelum indeks meneruskan aliran meningkatnya," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran secara keseluruhannya kekal positif.

"Pada peringkat domestik, kejelasan dasar semakin baik selepas pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 bulan lepas, dengan langkah-langkah fiskal tambahan dijangka dalam Belanjawan 2026 pada Oktober ini.

"Keseluruhannya, perkembangan ini mengukuhkan prospek positif bagi pasaran ekuiti Malaysia apabila prestasi permodalan sederhana berdaya tahan disokong oleh sektor pembinaan dan tenaga, selain momentum perdagangan yang kukuh menunjukkan peluang pelaburan melangkaui indeks petunjuk pasaran," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing merosot 10 sen kepada RM9.75 dan RM7.40, Public Bank berkurangan 9.0 sen kepada RM4.42, Tenaga Nasional susut 28 sen kepada RM13.44 dan IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM6.77.

Bagi kaunter paling aktif, Sime Darby merosot 4.0 sen kepada RM1.62, Genting Bhd berkurangan 8.0 sen kepada RM2.80, PPB Group susut 58 sen kepada RM8.23 manakala Magma Group menambah 9.0 sen kepada 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 135.79 mata kepada 11,734.27, Indeks FBMT 100 berkurangan 142.57 mata kepada 11,506.22, Indeks FBM Emas Shariah susut 123.47 mata kepada 11,677.28, Indeks FBM 70 jatuh 163.31 mata kepada 16,453.17 dan Indeks FBM ACE turun 8.82 mata kepada 4,751.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 215.79 mata kepada 18,089.49, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.47 mata kepada 163.62 dan Indeks Perladangan susut 64.97 mata kepada 7,574.13 manakala Indeks Tenaga naik 1.44 mata kepada 747.20.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.56 bilion unit bernilai RM6.11 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM2.93 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.27 bilion unit bernilai RM174.86 juta daripada 652.92 juta unit bernilai RM88.90 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 480.86 juta unit bernilai RM171.52 juta daripada 494.35 juta unit bernilai RM145.00 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 940.70 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (312.46 juta), pembinaan (163.22 juta), teknologi (266.63 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (261.35 juta), hartanah (156.82 juta), perladangan (27.70 juta), REIT (33.12 juta), dana tertutup (351,200), tenaga (119.97 juta), penjagaan kesihatan (80.25 juta), telekomunikasi dan media (46.63 juta), pengangkutan dan logistik (25.72 juta), utiliti (123.34 juta) dan amanah perniagaan (142,000).

-- BERNAMA

#Bursa Malaysia #fbm klci #CIMB #pelaburan