KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatat penyusutan kecil ketika mengakhiri dagangan Khamis, seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lemah menjelang pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.09 mata atau 0.06 peratus kepada 1,604.26 daripada paras penutup 1,605.35 pada Rabu.

Indeks penanda aras itu yang turun 2.14 mata pada 1,603.21 sewaktu dagangan dibuka, juga bergerak dalam jajaran 1,602.32 hingga 1,608.84 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 620 berbanding 577 manakala 473 kaunter tidak berubah, 743 tidak diniagakan dan 95 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.33 bilion unit bernilai RM3.99 bilion daripada 4.73 bilion unit bernilai RM3.68 bilion yang dicatat semalam.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Malaysia Kenny Yee Shee Phin berkata FBM KLCI mencatat prestasi lebih baik pada awal hari ini, disokong oleh belian daripada institusi tempatan susulan pengumuman Google mengenai rancangan melabur RM9.4 bilion di Malaysia.

"Indeks utama bergerak melepasi paras 1,600 hari ini selepas minat belian berselang seli dengan aktiviti jualan berikutan kelemahan dalam pasaran serantau," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun susut 1.30 peratus kepada 38,054.13, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.34 peratus kepada 18,230.19, Kospi Korea Selatan berkurangan 1.56 peratus kepada 2,635.44 dan Indeks Komposit SSE Shanghai menguncup 0.62 peratus kepada 3,091.68.

Yee berkata peniaga juga menunggu pengumuman data penting AS iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lewat malam ini serta data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi yang dijadual pada Jumaat.

Sementara itu, Bursa Malaysia menerusi catatan di laman X hari ini berkata indeks penanda aras Malaysia mengatasi pasaran serantau sejak awal tahun ini dengan mencatat 4.4 mata peratusan lebih tinggi berbanding indeks kedua tertinggi.

Selain daripada prestasi harga, beliau berkata FBM KLCI juga muncul antara kelompok yang mencatat perolehan dividen tertinggi.

Dalam kenyataan berasingan, Bursa Malaysia berkata operasinya dan anak-anak syarikat akan ditutup pada 3 Jun, 2024, bersempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan kembali beroperasi pada 4 Jun, 2024.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.90, RM4.08 dan RM6.19, manakala Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals turun dua sen masing-masing pada RM13.18 dan RM6.71.

Bagi saham aktif, MyEG Services menokok dua sen kepada RM1.06; Epicon meraih tiga sen kepada 34.5 sen; WCT Holdings menokok 5.5 sen kepada 60 sen dan Lagenda Properties turun setengah sen kepada RM1.12 dan Kawan Renergy menambah 15 sen kepada 61.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 7.83 mata kepada 12,236.71, Indeks FBMT 100 turun 9.86 mata kepada 11,835.52; Indeks FBM Emas Syariah naik 2.04 mata kepada 12,480.61; Indeks FBM ACE menokok 10.02 mata kepada 5,449.92 dan Indeks FBM 70 menguncup 22.27 mata kepada 17,642.16.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kehilangan 4.18 mata kepada 17,494.21; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.04 mata kepada 195.38; Indeks Perladangan naik 5.41 mata kepada 7,149.63 manakala Indeks Tenaga susut 6.90 mata kepada 986.99.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menambah kepada 2.99 bilion unit bernilai RM3.46 bilion daripada 2.73 bilion unit bernilai RM3.20 bilion pada Rabu.

Perolehan waran meningkat kepada 1.40 bilion unit bernilai RM188.18 juta daripada 1.01 bilion unit bernilai RM142.96 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 927.45 juta saham bernilai RM341.05 juta daripada 990.48 juta saham bernilai RM344.36 juta.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 570.58 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (344.91 juta), pembinaan (284.80 juta), teknologi (411.12 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (115.29 juta), hartanah (700.23 juta), perladangan (26.34 juta), REIT (21.17 juta), dana tertutup (54,200), tenaga (175.24 juta), penjagaan kesihatan (91.18 juta), telekomunikasi dan media (47.57 juta), pengangkutan dan logistik (97.31 juta), utiliti (110.23 juta) dan unit amanah perniagaan (868,900).

-- BERNAMA