BISNES

Bursa Malaysia ditutup rendah, seiring prestasi serantau susulan penurunan Wall Street

Bernama 14/11/2025 | 12:15 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI merosot 6.60 mata, atau 0.40 peratus, kepada 1,625.67 berbanding penutupan semalam pada paras 1,632.27. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri peningkatan semalam dengan ditutup rendah pada Jumaat, seiring kelemahan prestasi serantau susulan penurunan di Wall Street, akibat kebimbangan baharu terhadap penilaian tinggi saham teknologi serta ketidaktentuan hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).


Ringkasan AI
  • Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat susulan kelemahan prestasi serantau serta penurunan di Wall Street akibat kebimbangan terhadap penilaian tinggi saham teknologi dan ketidaktentuan hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).
  • Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi melebihi kaunter untung, namun sentimen asas pasaran tempatan masih kukuh disokong aliran masuk dana asing yang berterusan serta petunjuk makroekonomi domestik yang semakin baik.
  • FBM KLCI berada pada paras lebih rendah susulan aktiviti pengambilan untung dalam persekitaran jualan besar-besaran serantau, sementara saham wajaran tinggi seperti Maybank, Public Bank, dan CIMB turut mengalami penurunan.


Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.60 mata, atau 0.40 peratus, kepada 1,625.67 berbanding penutupan semalam pada paras 1,632.27.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.46 mata lebih rendah pada 1,630.81, dan bergerak antara 1,623.81 dan 1,630.96 sepanjang dagangan.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 827 berbanding 323, manakala 506 kaunter tidak berubah, 1,082 tidak didagangkan dan 10 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.64 bilion unit bernilai RM2.68 bilion daripada 3.95 bilion unit bernilai RM2.77 bilion pada Khamis.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan bagaimanapun berkata sentimen asas pasaran tempatan masih kukuh, disokong aliran masuk dana asing yang berterusan serta petunjuk makroekonomi domestik yang semakin baik.

"Dari Isnin hingga Khamis, pelabur asing menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia, satu petanda keyakinan yang positif walaupun berdepan ketidaktentuan global yang meningkat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata di seluruh Asia, tekanan luaran yang sama turut mempengaruhi dengan kebanyakan indeks utama ditutup rendah, seiring penjualan besar-besaran di Wall Street, prestasi paling lemah sejak April.

Ia berikutan saham utama kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor terus mencatat penurunan akibat kebimbangan terhadap penilaian.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng pula berkata FBM KLCI berada di paras lebih rendah susulan aktiviti pengambilan untung dalam persekitaran jualan besar-besaran serantau.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.93, Public Bank turun satu sen kepada RM4.29, CIMB berkurangan empat sen kepada RM7.53 dan Tenaga Nasional merosot lapan sen kepada RM13.42, manakala IHH Healthcare naik dua sen kepada RM8.27.

Bagi kaunter paling aktif, Tanco meningkat satu sen kepada 95.5 sen, Genting Malaysia naik dua sen kepada RM2.30, manakala Zetrix AI dan MMAG masing-masing susut setengah sen kepada 84.5 sen dan 7.5 sen. Pharmaniaga dan Perak Transit pula masing-masing kekal pada 26 sen dan 26.5 sen.

Antara kaunter untung utama, Dutch Lady melonjak 90 sen kepada RM29.50, Nestle naik 50 sen kepada RM113.50, United Plantations meningkat 30 sen kepada RM26.30, Manulife menambah 20 sen kepada RM2.33, manakala Hong Leong Financial naik 16 sen kepada RM17.40.

Kaunter rugi utama pula menyaksikan Master-Pack turun 35 sen kepada RM2.04, Petronas Dagangan susut 34 sen kepada RM22.10, PPB Group dan Kotra masing-masing berkurangan 20 sen kepada RM11.60 dan RM4.20, manakala Ajinomoto merosot 18 sen kepada RM13.82.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 susut 49.28 mata kepada 11,823.06, Indeks FBM Emas turun 54.67 mata kepada 12,054.85, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 71.79 mata kepada 12,057.17.

Indeks FBM ACE turun 88.84 mata kepada 4,983.76, manakala Indeks FBM Mid 70 berkurangan 76.04 mata kepada 16,890.87.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 15.77 mata kepada 8,140.08, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 34.59 mata kepada 18,431.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.52 mata kepada 166.99, manakala Indeks Tenaga susut 1.20 mata kepada 755.61.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 1.38 bilion unit bernilai RM2.23 bilion daripada 1.55 bilion unit bernilai RM2.29 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.90 bilion unit bernilai RM305.93 juta berbanding 2.03 bilion unit bernilai RM342.36 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 348.77 juta unit bernilai RM143.45 juta daripada 360.12 juta unit bernilai RM139.57 juta semalam.

Kaunter pengguna dan perkhidmatan menyumbang 279.94 juta saham di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (251.24 juta), pembinaan (91.14 juta), teknologi (225.55 juta), perkhidmatan kewangan (56.62 juta), hartanah (181.72 juta), perladangan (48.23 juta), amanah pelaburan hartanah (19.92 juta), dana tertutup (25,300), tenaga (74.41 juta), penjagaan kesihatan (91.75 juta), telekomunikasi dan media (26.13 juta), pengangkutan dan logistik (13.57 juta), utiliti (26.48 juta) dan amanah perniagaan (69,700).

-- BERNAMA


#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #semikonduktor