Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup tidak banyak berubah susulan kebimbangan ketegangan geopolitik

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 0.23 mata kepada 1,736.48 daripada paras penutup 1,736.71 pada Khamis. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tidak banyak berubah pada Jumaat, apabila pelabur kekal mengambil pendekatan berhati-hati di tengah-tengah tekanan baharu terhadap hasil bon global dan ketegangan geopolitik, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.23 mata kepada 1,736.48 daripada paras penutup 1,736.71 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 0.63 mata kepada 1,736.08, dan bergerak turun naik antara paras 1,733.13 dan 1,738.30 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 637 berbanding 578, manakala 571 kaunter tidak berubah, 1,086 tidak diniagakan dan 47 digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 3.91 bilion unit bernilai RM3.32 bilion daripada 4.28 bilion unit bernilai RM4.01 bilion pada Khamis.

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata saham dengan pendedahan yang lebih kukuh kepada permintaan domestik kekal menarik apabila para pelabur berusaha untuk mengurangkan pendedahan kepada risiko luaran.

Selain itu, beliau berkata pasaran global kini sedang menunggu perkembangan daripada simposium Jackson Hole yang berlangsung dari 27-29 Ogos 2026, terutamanya ucapan dasar Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Kevin Warsh pada 28 Ogos.

Simposium itu dijangka merangkumi isu seperti stablecoin dan masa depan infrastruktur kewangan, dengan pelabur berkemungkinan akan memberi tumpuan terutamanya pada sebarang isyarat mengenai pergerakan kadar faedah Rizab Persekutuan.

“Bagi Bursa Malaysia, perkembangan dasar monetari AS akan menjadi faktor penting yang mempengaruhi minat risiko global, hasil bon dan aliran dana asing, walaupun komposisi pasaran tempatan yang agak defensif dan pendedahan permintaan domestik dapat memberikan sedikit daya tahan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM10.60, Public Bank dan CIMB Group turun tiga sen masing-masing kepada RM5.09 dan RM7.95, Tenaga Nasional berkurangan 10 sen kepada RM14.40 dan IHH Healthcare menyusut enam sen kepada RM8.28.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, NexG susut satu sen kepada 32 sen, Zetrix AI tidak berubah pada 65 sen, AirAsia turun 7.5 sen kepada 81 sen, JCY International berkurangan 1.5 sen kepada 51.5 sen, manakala YTL Corporation meningkat enam sen kepada RM2.49.

Kaunter untung utama diterajui PPB Group yang melonjak 38 sen kepada RM10.28, Fraser & Neave Holdings naik 30 sen kepada RM26.50, Sarawak Oil Palms meningkat 29 sen kepada RM5.56, United Plantations menokok 28 sen kepada RM32.16, dan YTL Power International menambah 24 sen kepada RM5.40.

Dalam kalangan saham paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut RM2.10 kepada RM43.20, Nestle turun RM1.00 kepada RM103.80, Kelington Group berkurangan 39 sen kepada RM8.61, Telekom Malaysia merosot 33 sen kepada RM7.77 dan Sunway Construction Group menyusut 25 sen kepada RM7.90.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 5.03 mata kepada 5,333.79, Indeks FBM 70 turun 23.07 mata kepada 18,151.04 manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 16.78 mata kepada 12,641.79.

Indeks FBM Emas susut 5.34 mata kepada 12,823.28 manakala Indeks FBM Top 100 turun 5.30 mata kepada 12,650.92.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 112.22 mata kepada 9,440.65, Indeks Tenaga meningkat 1.89 mata kepada 777.03, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 10.08 mata kepada 20,265.40, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.33 mata kepada 187.22.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 2.00 bilion unit bernilai RM2.91 bilion daripada 2.32 bilion unit bernilai RM3.56 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.32 bilion unit bernilai RM165.20 juta daripada 1.25 bilion unit bernilai RM159.83 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 578.51 juta unit bernilai RM241.31 juta daripada 691.33 juta unit bernilai RM281.98 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 389.13 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (300.79 juta), pembinaan (128.17 juta), teknologi (553.48 juta), perkhidmatan kewangan (49.90 juta), hartanah (136.60 juta), perladangan (62.72 juta), amanah pelaburan hartanah (19.37 juta), dana tertutup (170,500), tenaga (89.78 juta), penjagaan kesihatan (71.71 juta), telekomunikasi dan media (33.60 juta), pengangkutan dan logistik (51.16 juta), utiliti (119.85 juta), dan amanah perniagaan (27,700).

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement