BUSINESS
Bursa Malaysia ditutup tinggi, FBM KLCI naik 26.10 mata

Pada 5 petang, FBM KLCI naik 26.10 mata kepada pada paras tertinggi harian 1,480.86 daripada 1,454.76 ketika ditutup pada Jumaat lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, dipacu aktiviti belian saham semasa harga rendah yang berterusan dan sentimen lebih baik di seluruh pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 26.10 mata kepada pada paras tertinggi harian 1,480.86 daripada 1,454.76 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 798 berbanding 248, manakala 359 kaunter tidak berubah, 978 tidak diniagakan dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan melonjak kepada 2.99 bilion unit bernilai RM2.06 bilion berbanding 2.80 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Jumaat.Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup lebih tinggi apabila aktiviti belian saham semasa harga rendah berlanjutan berikutan penjualan baru-baru ini.
"Pasaran ekuiti serantau juga meningkat, disebabkan tahap kebimbangan pelabur semakin berkurangan selepas pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pengecualian tarif buat sementara waktu ke atas import elektronik dari China yang meningkatkan saham berkaitan teknologi," katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, Thong berkata pengecualian tarif itu dilihat sebagai meredakan keadaan untuk jangka pendek.
"Namun begitu, pelabur nampaknya membuat andaian untuk ketidaktentuan jangka pendek ini, menjangkakan bahawa rundingan berterusan akan menghasilkan terma yang lebih menguntungkan," tambahnya.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kejatuhan pasaran tempatan mungkin berakhir minggu lepas.
"Bagaimanapun, momentum menaik yang berterusan akan bergantung pada kejelasan dalam rundingan perdagangan AS-China dan perkembangan selanjutnya dalam dasar monetari global," katanya.
Bagi saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat 16.0 sen kepada RM13.38, Maybank dan Public Bank menambah 7.0 sen masing-masing kepada RM9.89 dan RM4.31, CIMB Group melonjak 8.0 sen kepada RM6.73, bagaimanapun IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM6.78.
Dalam kalangan saham aktif, MY EG Services dan T7 Global melonjak 2.5 sen masing-masing kepada 92.5 sen dan 28.5 sen, Ekovest naik 4.0 sen kepada 32.5 sen, Inari Amertron menokok 12.0 sen kepada RM1.78, manakala NationGate menambah 2.0 sen kepada RM1.25.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 189.68 mata kepada 10,999.76, Indeks FBMT 100 meningkat 183.44 mata kepada 10,785.11, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 214.63 mata kepada 10,819.54, Indeks FBM 70 menokok 237.22 mata kepada 15,503.15 dan Indeks FBM ACE menambah 112.55 mata kepada 4,524.74.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 220.62 mata kepada 17,755.15, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 4.06 mata kepada 143.49, Indeks Tenaga menokok 7.32 mata kepada 656.06 manakala Indeks Perladangan melonjak 147.80 mata mata kepada 7,210.33.
Jumlah dagangan pasaran utama tidak berubah pada 1.44 bilion unit bernilai RM1.81 bilion berbanding 1.44 bilion unit bernilai RM2.25 bilion pada Jumaat.
Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.23 bilion unit bernilai RM141.70 juta daripada 969.44 juta unit bernilai RM96.46 juta sebelum itu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 312.55 juta unit bernilai RM107.20 juta berbanding 382.27 juta unit bernilai RM117.12 juta sebelum itu.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 150.30 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (212.03 juta), pembinaan (134.27 juta), teknologi (281.57 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (89.56 juta), hartanah (190.51 juta), perladangan (25.11 juta), REIT (9.82 juta), dana tertutup (68,500), tenaga (178.39 juta), penjagaan kesihatan (65.51 juta), telekomunikasi dan media (26.47 juta), pengangkutan dan logistik (20.11 juta), utiliti (60.01 juta), dan amanah perniagaan (6,900 juta).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami