KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks utama melantun kukuh sebanyak 1.38 peratus, didorong oleh jangkaan kelancaran keputusan bagi pembentukan pentadbiran Malaysia yang baharu.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 20.69 mata untuk mengakhiri urus niaga pada 1,523.59 berbanding 1,502.90 ketika ditutup semalam (Isnin).

Indeks utama dibuka 2.37 mata lebih tinggi pada paras terendah seharian 1,505.27 dan mencecah paras tertinggi 1,524.71 pada sesi urus niaga hari ini.

Pergerakan harga di pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 621 berbalas 395 manakala 407 kaunter tidak berubah, 777 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.32 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 5.03 bilion unit bernilai RM2.37 bilion pada Isnin.

Menurut laporan berita, semua ahli parlimen diberi masa sehingga jam 4 petang esok untuk menyatakan satu nama pilihan sebagai Perdana Menteri baharu.

Ketua penjualan ekuiti Rakuten Trade Vincent Lau berkata kekuatan pasaran pada masa ini dibantu oleh saham berkaitan dengan indeks dan momentum kenaikan ini kemungkinan berterusan untuk sesi baki hari urus niaga minggu ini.

"Ia bergantung pada seberapa cepat mereka dapat membentuk kerajaan baharu berserta hala tujunya," kata beliau kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank melonjak lapan sen kepada RM8.14, Public Bank naik dua sen kepada RM3.85, Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM8, TNB naik 19 sen kepada RM9.94, CIMB menambah sembilan sen kepada RM4.60, dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM5.78.

Bagi saham aktif, Advance Synergy meningkat lima sen pada 22.5 sen, Malayan United Industries naik satu sen kepada 10.5 sen, Fintec tidak berubah pada 2.5 sen sementara Avillion dan Komarkcorp masing-masing turun satu sen kepada 20 sen dan 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 120.73 mata kepada 11,121.14, Indeks FBMT 100 melonjak 123.31 mata kepada 10,840.97, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 145.91 mata kepada 12,226.61, FBM 70 naik 72.19 mata kepada 14,551.09, dan FBM ACE lebih tinggi sebanyak 42.92 mata kepada 7,132.14.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan mengukuh 76.20 mata kepada 6,323.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 113.20 mata kepada 14,844.87 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.82 mata kepada 190.75.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 2.88 bilion saham bernilai RM2.06 bilion daripada 3.30 bilion saham bernilai RM2.03 bilion pada urus niaga Isnin.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 260.50 juta unit bernilai RM39.63 juta daripada 321.58 juta unit bernilai RM38.77 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 1.05 bilion saham bernilai RM269.09 juta daripada 1.25 bilion saham bernilai RM298.03 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 1.10 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (722.80 juta), pembinaan (85.89 juta), teknologi (259.01 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (73.46 juta), hartanah (216.77 juta), perladangan (34.53 juta), REIT (4.39 juta), dana tertutup (17,000), tenaga (235.39 juta), penjagaan kesihatan (40.63 juta), telekomunikasi dan media (24.61 juta), pengangkutan dan logistik (61.22 juta) dan utiliti (21.60 juta).

- BERNAMA