Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Bursa Malaysia ditutup tinggi, jejaki pasaran serantau

Bernama 18/08/2025 | 12:45 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 8.62 mata atau 0.55 peratus kepada 1,584.96 daripada 1,576.34 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, menjejaki kebanyakan prestasi positif pasaran serantau, disokong oleh pembelian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.62 mata atau 0.55 peratus kepada 1,584.96 daripada 1,576.34 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras pasaran itu dibuka 1.92 mata lebih tinggi kepada 1,578.26 dan bergerak antara 1,575.48 hingga 1,588.61 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 514 berbanding 491 manakala 469 kaunter lain tidak berubah, 1,112 tidak diniagakan dan enam lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan naik kepada 2.54 bilion unit bernilai RM2.72 bilion daripada 2.01 bilion unit bernilai RM2.03 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meneruskan aliran meningkatnya selepas dua hari aktiviti pengambilan untung kerana sentimen terus bertambah baik.

"Indeks serantau utama adalah lebih tinggi, disokong oleh tanda-tanda kemajuan dalam perbincangan AS (Amerika Syarikat)-Rusia mengenai kemungkinan gencatan senjata akan berlaku di Ukraine. Sementara itu, pelabur memerhati dengan teliti sebarang petunjuk mengenai kadar faedah AS ketika pemukiman tahunan Rizab Persekutuan (Fed) AS di Jackson Hole, Wyoming.

"Di peringkat tempatan, kami kekal optimistik dengan perkembangan positif dalam keadaan geopolitik yang bertambah baik. Indeks penanda aras kini menguji semula paras rintangan 1,585 dan ditutup pada 1,584.96," katanya kepada Bernama.

Thong menjangkakan indeks penanda aras tempatan akan berada dalam julat 1,570-1,600 untuk minggu ini, melebihi 1,585, dijangka ke paras 1,600, seterusnya 1,636.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 2.0 sen kepada RM9.78, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.46, CIMB meningkat 8.0 sen kepada RM7.33, manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM13.62 dan RM6.82.

Bagi saham aktif, Tanco melonjak 0.5 sen kepada 73.5 sen, Velesto dan Oversea Enterprise tidak berubag masing-masing pada 18.5 sen dan 2.5 sen, manakala Pharmaniaga merosot 0.5 sen kepada 17 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 47.74 mata kepada 11,778.80, Indeks FBMT 100 menokok 49.73 mata kepada 11,562.29, Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 38.78 mata kepada 11,693.63, Indeks FBM 70 melonjak 13.89 mata kepada 16,674.57, manakala Indeks FBM ACE menambah 0.77 mata kepada 4,714.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 50.30 mata kepada 18,130.37, Indeks Perladangan meningkat 30.73 mata kepada 7,534.76, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.63 mata kepada 158.35 manakala Indeks Tenaga merosot 2.48 mata kepada 738.35.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.54 bilion unit bernilai RM2.72 bilion berbanding 1.17 bilion unit bernilai RM1.82 bilion pada Jumaat lepas.

Waran melonjak kepada 694.21 juta unit bernilai RM98.99 juta berbanding 474.97 juta unit bernilai RM66.97 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan menokok kepada 459.40 juta bernilai RM150.63 juta daripada 359.0 juta saham bernilai RM135.16 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 228.71 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (182.62 juta), pembinaan (153.34 juta), teknologi (158.41 juta), perkhidmatan kewangan (92.19 juta), hartanah (160.26 juta), perladangan (22.70 juta), REIT (28.55 juta), dana tertutup (5,800), tenaga (20.3 5juta) dan penjagaan kesihatan (90.43juta).

Telekomunikasi dan media (37.71 juta), pengangkutan dan logistik (39.43 juta), utiliti (71.57 juta) dan unit amanah perniagaan (37,500).

-- BERNAMA

#Bursa Malaysia #gencatan senjata #fbm klci #rizab persekutuan