[TERKINI] Nahas Gerik: Bas Bawa Penuntut UPSI Dipandu Melebihi Had Laju Dua Kali Ganda – Semak Perincian MOT Di Sini
BISNES

Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan aktiviti membeli saham berharga rendah

Bernama 18/07/2025 | 12:45 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 4.92 mata atau 0.32 peratus kepada 1,525.86 daripada paras 1,520.94 pada Khamis. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi pada Jumaat susulan aktiviti membeli saham berharga rendah yang berterusan berikutan penjualan besar-besaran pada awal minggu ini, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.92 mata atau 0.32 peratus kepada 1,525.86 daripada paras 1,520.94 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 2.03 mata kepada 1,522.97 dan bergerak antara paras 1,522.97 dan 1,529.52 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 621 berbanding 393 manakala 511 kaunter tidak berubah, 933 tidak diniagakan dan lapan digantung.

Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 3.18 bilion saham bernilai RM2.81 bilion, daripada 3.17 bilion saham bernilai RM2.48 bilion pada Khamis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks serantau utama juga diniagakan lebih tinggi berikutan hasil pendapatan kukuh daripada syarikat teknologi.

Pendapatan suku kedua Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) melonjak hampir 61 peratus didorong oleh permintaan kukuh berterusan terhadap cip kecerdasan buatan (AI).

Bagaimanapun, saham Jepun berada dalam aliran menurun berikutan data inflasi yang lebih tinggi sedikit daripada jangkaan.

Thong berkata sentimen di Bursa tempatan masih kekal lemah kerana indeks utama gagal melepasi paras 1,530.

"Pelabur juga enggan memegang pegangan jangka panjang berikutan ketidaktentuan luaran," katanya kepada Bernama.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata paras penutup FBM KLCI itu, bagaimanapun, tidak mencukupi untuk melonjakkan indeks ke tahap lebih positif bagi asas mingguan.

Bagi perbandingan mingguan, beliau berkata indeks itu mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.66 peratus.

Pada sesi dagangan hari ini, produk perindustrian meneraju kaunter untung, disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang bertambah baik, yang nampaknya telah mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap potensi halangan ekonomi berpunca daripada dasar perdagangan tidak menentu dan risiko geopolitik yang berterusan.

Mengulas mengenai keluaran dalam negara kasar (KDNK), data yang dikeluarkan hari ini menunjukkan anggaran awal KDNK suku kedua Malaysia pada 4.5 peratus, tinggi sedikit daripada unjuran 4.3 peratus, menunjukkan daya tahan ekonomi domestik walaupun berdepan cabaran luar yang berterusan.

"Sentimen yang lebih baik itu disokong lagi oleh data makroekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan yang dikeluarkan semalaman.

"Jualan runcit AS terutamanya meningkat sebanyak 0.6 peratus pada Jun, manakala tuntutan pengangguran awal susut bagi minggu kelima berturut-turut ke paras terendah sejak pertengahan April - kedua-duanya menandakan kekuatan berterusan dalam pasaran buruh Amerika," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Press Metal Aluminium meningkat 6.0 sen setiap satu masing-masing kepada RM4.31 dan RM5.13, Gamuda menokok 18 sen kepada RM5.33, Sunway menambah 7.0 sen kepada RM5.06 dan IHH Healthcare naik 4.0 sen kepada RM6.57.

Dalam kalangan saham paling cergas, Enproserve Group yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE hari ini meningkat 2.5 sen kepada 26.5 sen, NexG menambah setengah sen kepada 49.5 sen, Zetrix AI dan Tanco naik 1.0 sen setiap satu masing-masing kepada 94.5 sen dan 91 sen dan iCents menokok 2.0 sen kepada 36 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 54.66 mata kepada 11,479.83, Indeks FBMT 100 naik 53.32 mata kepada 11,241.69, Indeks FBM Emas Shariah menokok 63.90 mata kepada 11,537.87.

Indeks FBM 70 melonjak 153.68 mata kepada 16,697.72 manakala Indeks FBM ACE naik 35.81 mata kepada 4,671.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 52.48 mata kepada 17,354.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.39 mata kepada 155.38, Indeks Tenaga menambah 0.02 mata kepada 739.13 dan Indeks Perladangan menokok 11.35 mata kepada 7,441.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.49 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 1.28 bilion unit bernilai RM2.08 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.21 bilion unit bernilai RM165.20 juta daripada 1.38 bilion unit bernilai RM207.39 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 466.05 juta unit bernilai RM188.20 juta daripada 512.88 juta unit bernilai RM192.81 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 176.03 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (200.64 juta), pembinaan (231.30 juta), teknologi (265.33 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (82.08 juta), hartanah (242.99 juta), perladangan (13.80 juta), REITs (29.72 juta), dana tertutup (13,000), tenaga (63.33 juta), penjagaan kesihatan (102.26 juta), telekomunikasi dan media (28.95 juta), pengangkutan dan logistik (23.13 juta), utiliti (39.81 juta), dan amanah perniagaan (10,800).

-- BERNAMA

#fbm klci #Bursa Malaysia #kecerdasan buatan #KDNK