[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
BISNES

Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan lanjutan gencatan tarif AS-China

Bernama 12/08/2025 | 13:15 MYT
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.66 mata, atau 0.30 peratus, untuk ditutup kepada 1,567.90 daripada paras 1,563.24 pada Isnin. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkatnya untuk ditutup tinggi hari ini mendapat rangsangan daripada keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan gencatan tarif selama 90 hari dengan China sehingga 10 Nov.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.66 mata, atau 0.30 peratus, untuk ditutup kepada 1,567.90 daripada paras 1,563.24 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu pada mulanya dibuka rendah turun 1.41 mata kepada 1,561.83, yang mana merupakan paras terendahnya hari ini, namun kemudiannya pulih semula dan mencecah paras tertinggi 1,572.97 pada awal dagangan.

Keseluruhan pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 477, manakala 507 kaunter tidak berubah, 1,024 tidak diniagakan dan lapan digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.53 bilion unit bernilai RM2.15 bilion daripada 2.54 bilion unit bernilai RM2.20 bilion pada Isnin.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks utama Asia juga menunjukkan aliran positif apabila para pelabur menyambut baik berita bahawa AS dan China telah bersetuju pada Isnin untuk melanjutkan gencatan tarif mereka selama 90 hari, mengelakkan duti tinggi yang boleh merencatkan aliran perdagangan.

"Perjanjian itu mengekalkan tarif AS sedia ada pada 30 peratus dan tarif China pada 10 peratus, memberikan masa tambahan untuk rundingan dan meningkatkan sentimen pelabur di seluruh rantau ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata sentimen pasaran turut mendapat rangsangan daripada keyakinan ketegangan geopolitik akan mereda susulan pertemuan Presiden AS Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin di Alaska pada Jumaat ini untuk membincangkan perang di Ukraine.

Di pasaran tempatan, Thong berkata indeks petunjuk pasaran ditutup pada 1,567.90, melepasi paras rintangan utama pada 1,565 dan indeks itu dijangka terus mencatatkan lagi kenaikan.

"Oleh itu, sasaran FBM KLCI mingguan kami kekal dalam jajaran 1,550-1,580," katanya.

Para peniaga juga menunggu pengumuman data utama inflasi AS, yang boleh memberi isyarat pergerakan dasar Rizab Persekutuan yang seterusnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 6.0 sen kepada RM9.71, CIMB meningkat 7.0 sen kepada RM7.01, manakala Tenaga Nasional turun 8.0 sen kepada RM13.58, IHH Healthcare susut 14 sen kepada RM6.82, dan Public Bank tidak berubah pada RM4.40.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Classita naik setengah sen kepada 9.5 sen, NexG meningkat 2.5 sen kepada 40 sen, manakala Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 88 sen, Tanco turun 2.0 sen kepada 72.5 sen dan TWL tidak berubah pada 2.5 sen.

Di keseluruhan pasaran, Indeks FBM Emas meningkat 28.37 mata kepada 11,675.50, Indeks FBMT 100 naik 26.46 mata kepada 11,456.18, Indeks FBM Emas Shariah menokok 17.71 mata kepada 11,665.38, Indeks FBM ACE menambah 17.92 mata kepada 4,638.14, dan Indeks FBM 70 melonjak 5.0 mata kepada 16,600.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 86.82 mata kepada 17,814.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.28 mata kepada 160.06, Indeks Perladangan melonjak 67.73 mata kepada 7,531.81, dan Indeks Tenaga naik 3.02 mata kepada 738.38.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.56 bilion unit bernilai RM1.95 bilion daripada 1.52 bilion unit bernilai RM2.01 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 251.24 juta unit bernilai RM106.41 juta daripada 279.82 juta unit bernilai RM90.63 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 432.48 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (187.12 juta), pembinaan (88.88 juta), teknologi (270.13 juta), perkhidmatan kewangan (78.73 juta), hartanah (206.67 juta), perladangan (14.81 juta), REIT (21.93 juta), dana tertutup (5,500), tenaga (96.50 juta), penjagaan kesihatan (81.98 juta), telekomunikasi dan media (25.96 juta), pengangkutan dan logistik (21.36 juta), utiliti (36.66 juta), dan amanah perniagaan (184,600).

-- BERNAMA

#Bursa Malaysia #ditutup tinggi #gencatan tarif #AS-China