KUALA LUMPUR: Aktiviti memperelok akaun pada akhir tahun dan trend pengambilan risiko oleh pelabur terus memacu dagangan di Bursa Malaysia untuk mengakhiri urus niaga tengah hari lebih tinggi pada Selasa.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.90 mata kepada 1,489.35 berbanding 1,483.45 ketika ditutup pada petang urus niaga Isnin.

Indeks utama dibuka 1.49 mata lebih tinggi pada 1,484.94 pagi ini dan bergerak antara 1,484.35 dan 1,490.84.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 468 berbalas 328 manakala 409 kaunter tidak berubah, 1,081 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 2.54 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.

Seorang penganalisis berkata prestasi pasaran adalah seiring dengan pergerakan semalaman Wall Street dan bursa serantau yang lain selepas para pelabur mengetepikan risiko varian Omicron yang mungkin menyebabkan penyakit yang lebih ringan berbanding varian-varian sebelumnya.

Pelabur turut menyambut baik data ekonomi terkini China, yang menyaksikan eksport mengatasi jangkaan walaupun kadar pertumbuhan perlahan pada November berbanding September.

Eksport negara itu meningkat 22 peratus tahun ke tahun manakala import melonjak 31.7 peratus.

Selain itu, peningkatan seterusnya pasaran minyak turut membantu meningkatkan sentimen dengan minyak mentah Brent berlegar melepasi paras US$73 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik enam sen kepada RM3.94 manakala Maybank dan Mr DIY menambah lima sen, masing-masing kepada RM8.04 dan RM3.49.

Axiata menokok tujuh sen kepada RM3.72, MISC mengembang sembilan sen kepada RM6.45 dan Petronas Chemicals lebih tinggi 12 sen kepada RM8.43.

Bagaimanapun, Top Glove kekal lemah pada RM2.44, turun 13 sen sementara Hartalega kerugian 35 sen kepada RM5.74.

Bagi saham aktif, Kanger turun satu sen kepada dua sen, Sapura Energy susut 2.5 sen kepada 5.5 sen, manakala BCM Alliance, Green Ocean, XOX dan Impiana Hotels tidak berubah, masing-masing pada 3.5 sen, tiga sen, tiga sen dan sembilan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 45.24 mata kepada 10,855.18, Indeks FBMT 100 meraih 43.59 mata kepada 10,562.52, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 17.34 mata kepada 11,728.37.

FBM 70 meningkat 64.99 mata kepada 14,037.88 tetapi FBM ACE susut 2.83 mata kepada 6,210.19.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.42 mata kepada 192.48, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 110.33 mata kepada 15,078.04, dan Indeks Perladangan menambah 17.73 mata kepada 6,411.88.

-- BERNAMA