Bursa Malaysia lancar platform ThoughStream galak penyelidikan pasaran bebas

Bursa Malaysia berkata ThoughtStream mencerminkan komitmen berterusan bursa itu untuk mencipta peluang dan menambah nilai dalam pasaran modal Malaysia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd melancarkan ThoughtStream, platform digital baharu bagi menggalakkan pelabur, penyelidik, pelajar dan penggiat pasaran berkongsi penyelidikan serta pandangan bebas mereka mengenai syarikat tersenarai dan trend pasaran.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia Bhd melancarkan platform digital baru, ThoughtStream, yang membolehkan pelabur dan penggiat pasaran berkongsi penyelidikan dan pandangan mengenai syarikat tersenarai serta trend pasaran.
- Platform ini menyediakan saluran yang berwibawa bagi penyelidikan awam untuk disebarkan kepada komuniti pelabur yang lebih luas, memastikan pandangan dan analisis bernilai dapat disalurkan ke pasaran menerusi saluran yang sah.
- ThoughtStream juga berperanan sebagai platform bagi penganalisis baharu mengasah kemahiran dalam penyelidikan ekuiti, analisis kewangan, dan penulisan laporan, dengan Bursa Malaysia memberi ganjaran RM1,000 kepada laporan berkualiti yang dipilih untuk diterbitkan.
"Platform ini, yang boleh diakses melalui MyBURSA, berfungsi sebagai repositori dinamik untuk orang ramai menghantar kertas penyelidikan dan analisis pasaran," katanya.
Bursa itu berkata, di bawah model ThoughtStream penasihat pelaburan berlesen yang mengambil bahagian akan menilai laporan yang diterima dan memilih hasil yang berkualiti untuk diterbitkan.
Pendekatan kolaboratif ini memastikan pandangan dan analisis bernilai daripada komuniti lebih luas dapat disalurkan ke pasaran menerusi saluran yang sah dan berwibawa, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed berkata, platform itu bertujuan memperkasa suara bebas serta memupuk komuniti pelaburan yang lebih berpengetahuan dan inklusif.
Dengan kewujudan platform ini, bursa menggalakkan pemikiran analitikal serta membudayakan penyertaan pasaran yang bertanggungjawab, katanya.
Bursa itu berkata, ThoughtStream juga berfungsi sebagai platform bagi penganalisis baharu mengasah kemahiran dalam penyelidikan ekuiti, analisis kewangan dan penulisan laporan.
"Dalam penyediaan laporan penyelidikan, peserta boleh memanfaatkan pelbagai alat seperti Bursa Digital Research, laporan Bursa Research Investment Scheme (RISE), data pasaran, stock screener, stock heatmap dan kandungan pendidikan lain yang tersedia di MyBURSA," katanya.
Bagi menggalakkan penyertaan sepanjang fasa pelancaran (10 Nov hingga 31 Dis 2025), Bursa Malaysia akan memberi ganjaran RM1,000 kepada setiap satu daripada 12 laporan berkualiti yang dipilih oleh penasihat pelaburan untuk diterbitkan.
"Selepas tempoh pelancaran, penasihat pelaburan boleh terus membeli laporan daripada penyumbang pada kadar tetap RM500 setiap satu.
"Urus niaga selepas pelancaran ini dijalankan secara bebas antara penasihat pelaburan dan penyumbang, tanpa penglibatan Bursa Malaysia," katanya.
Bursa Malaysia berkata, ThoughtStream mencerminkan komitmen berterusan bursa itu untuk mencipta peluang dan menambah nilai dalam pasaran modal Malaysia.
"Bagi penasihat pelaburan, platform ini menawarkan akses kepada pelbagai perspektif dan pandangan baharu yang melengkapi penyelidikan mereka sendiri.
"Bagi pelabur dan pasaran secara keseluruhan, ThoughtStream memperluas ketersediaan penyelidikan berkualiti serta pandangan alternatif, sekali gus memperkayakan komuniti dan landskap pelaburan negara," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai ThoughtStream atau menyertai sebagai penyumbang penyelidikan, layari https://my.bursamalaysia.com/market/tools/thoughtstream.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


