BISNES
Bursa Malaysia melantun semula untuk ditutup tinggi sejajar prestasi pasaran serantau
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 1.88 mata, atau 0.12 peratus, kepada 1,519.99 daripada paras penutup 1,518.11 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia pulih semula daripada penurunan pada sesi awal untuk ditutup tinggi sedikit hari ini disokong oleh keyakinan terhadap segmen pusat data dan daya tahan saham di tengah-tengah peningkatan ketegangan geopolitik.
Pemulihan itu sejajar dengan kebanyakan prestasi pasaran serantau, dengan pelabur menunggu keputusan beberapa mesyuarat bank pusat minggu ini, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.88 mata, atau 0.12 peratus, kepada 1,519.99 daripada paras penutup 1,518.11 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah turun 0.24 mata kepada 1,517.87, bergerak antara paras 1,512.26 dan 1,521.38 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 612 berbanding 321, manakala 509 kaunter tidak berubah, 973 tidak diniagakan dan 21 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.83 bilion unit bernilai RM2.04 bilion daripada 2.88 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Jumaat.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata prestasi FBM KLCI hari ini menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang berterusan.
Kenaikan pasaran diteraju oleh kaunter teknologi dan utiliti, terutamanya yang mempunyai pendedahan domestik yang kukuh.
"Prestasi pasaran hari ini juga sama seperti apa yang dilihat berlaku semasa bermulanya konflik Rusia-Ukraine, dengan saham perladangan dan tenaga memacu kenaikan sektor di Bursa Malaysia.
"Ini menunjukkan peralihan kepada sektor komoditi dan sektor yang sensitif kepada inflasi, dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik," kata Mohd Sedek kepada Bernama.
Di sebalik risiko ini, beliau berkata pasaran ekuiti serantau secara umumnya pulih semula disokong oleh prospek ekonomi makro yang lebih baik di Amerika Syarikat.
Sementara itu, pengarah urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata aktiviti pasaran hari ini kelihatan lebih seperti peralihan minat saham dan bukannya jualan panik.
Dana tempatan memihak kepada bursa serantau berisiko lebih rendah -- yang mempunyai syarikat mudah tunai kukuh dan syarikat pertahanan besar -- kerana lindung nilai geopolitik menjadi sebahagian daripada strategi mereka.
"Bursa Malaysia agak rendah pada sesi dagangan awal, tetapi menjelang sesi penutup dagangan, ia berjaya bertahan dengan agak baik," kata Innes.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi berkaitan tenaga, Tenaga naik 6.0 sen kepada RM14.36, Petronas Gas meningkat 12 sen kepada RM17.96, Petronas Chemicals menokok 7.0 sen kepada RM3.40, dan MISC menambah 8.0 sen kepada RM7.58.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Maybank turun 11 sen kepada RM9.59, Public Bank susut 2.0 sen kepada RM4.23, CIMB berkurangan 7.0 sen kepada RM6.75, dan IHH Healthcare naik 1.0 sen kepada RM6.91.
Dalam kalangan saham paling aktif didagangkan, MYEG turun 2.5 sen kepada 93 sen, Tanco susut setengah sen kepada 95.5 sen, manakala Thrive Property Group, NexG, Velesto Energy, dan Reservoir Link Energy menambah setengah sen masing-masing kepada 1.5 sen, 35.5 sen, 35.5 sen, 19 sen dan 36 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 9.39 mata kepada 11,360.79, Indeks FBMT 100 turun 5.69 mata kepada 11,138.35, manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 44.13 mata kepada 11,373.66.
Indeks FBM 70 menyusut 85.25 mata kepada 16,283.46 dan Indeks FBM ACE turun 15.38 mata kepada 4,471.81.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 11.40 mata kepada 752.16 dan Indeks Perladangan melonjak 129.35 mata kepada 7,350.27.
Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 147.25 mata kepada 17,501.00 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.22 mata kepada 151.13.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.25 bilion unit bernilai RM1.80 bilion daripada 1.37 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada sesi penutup Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.35 bilion unit bernilai RM171.62 juta daripada 1.16 bilion unit bernilai RM151.36 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 228.89 juta unit bernilai RM74.30 juta daripada 359.88 juta unit bernilai RM97.50 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 210.90 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (166.96 juta), pembinaan (85.22 juta), teknologi (165.43 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.42 juta), hartanah (132.48 juta), perladangan (19.66 juta), REITs (27.72 juta), dana tertutup (27,000), tenaga (207.16 juta), penjagaan kesihatan (61.74 juta), telekomunikasi dan media (33.36 juta), pengangkutan dan logistik (38.82 juta), utilitii (33.58 juta) dan amanah perniagaan (1,300).
-- BERNAMA