KUALA LUMPUR: Prestasi positif semalaman di Wall Street membantu melonjakkan dagangan Bursa Malaysia pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini.

Pada 9.09 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 6.06 mata kepada 1,402.66 berbanding 1,396.60 penutup Isnin.

Indeks utama dibuka 5.00 mata lebih tinggi pada 1,401.60.

Pergerakan harga di pasaran juga positif menyaksikan kaunter untung mendahului kaunter rugi 157 berbalas 110, manakala 235 kaunter tidak berubah, 1,794 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 217.86 juta unit bernilai RM77.62 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata usaha oleh pihak berkuasa AS menyelamatkan bank-bank bermasalah telah menyumbang kepada sentimen yang lebih baik.

Bagaimanapun, Nasdaq merosot 55 mata kerana kadar faedah yang lebih tinggi akan menjejaskan pertumbuhan syarikat teknologi dengan hasil 10 tahun AS meningkat kepada 3.54 peratus.

''Di dalam negara, kami menjangkakan kemunculan kegiatan memburu saham murah dalam masa terdekat walaupun sentimen keseluruhan kekal berhati-hati , justeru, indeks diunjur bergerak dalam julat 1,400-1,410 hari ini,'' katanya.

Thong turut berpendapat minat pelabur akan kembali kepada saham minyak dan gas, disokong oleh harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi melebihi US$78 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, bank-bank dilihat menarik perhatian pelabur dengan Public Bank dan CIMB, masing-masing meningkat tiga sen untuk mencatatkan harga RM3.92 dan RM5.19.

Press Metal menokok enam sen kepada RM4.75, Hong Leong Bank peroleh 20 sen kepada RM20.18 dan Petronas Chemicals meraih lima sen kepada RM6.87.

Antara saham aktif pula - Hong Seng Consolidated susut setengah sen menjadi 12 sen, Jade Marvel meningkat setengah sen kepada 30.5 sen, VisDynamics turun 17 sen kepada 74 sen dan Zen Tech tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 32.91 mata kepada 10,266.93, Indeks FBMT 100 menambah 33.92 mata menjadi 9,964.33 manakala Indeks FBM Emas Syariah mengembang 22.60 mata kepada 10,590.08.

Indeks FBM 70 memperoleh 7.48 mata kepada 13,279.12 dan Indeks FBM ACE meningkat 27.09 mata kepada 5,244.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 74.02 mata kepada 15,496.52, Indeks Tenaga meningkat 14.23 mata kepada 807.18 dan Indeks Perladangan memperoleh 23.22 mata menjadi 6,679.94.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.81 mata kepada 166.77.

-- BERNAMA