BISNES

Bursa Malaysia menongkah aliran serantau untuk ditutup sedikit lebih tinggi

Bernama 04/11/2025 | 12:00 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 1.08 mata atau 0.07 peratus kepada 1,623.50 daripada 1,622.42 ketika ditutup pada Isnin. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menongkah aliran rendah serantau untuk ditutup sedikit lebih tinggi pada Selasa di tengah-tengah minat belian berterusan terhadap beberapa saham wajaran tinggi terplilih yang diterajui kaunter perkhidmatan kewangan.


Ringkasan AI
  • Bursa Malaysia tutup sedikit lebih tinggi pada Selasa di tengah minat belian terhadap saham wajaran tinggi terpilih, terutamanya dalam sektor perkhidmatan kewangan.
  • Meskipun FBM KLCI meningkat 0.07 peratus, sentimen pasaran negatif dengan lebih ramai kaunter rugi berbanding untung.
  • Pasaran Asia turut ditutup lebih rendah disebabkan kebimbangan mengenai lonjakan saham berkaitan kecerdasan buatan dan teknologi yang mungkin terlalu tinggi.


Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.08 mata atau 0.07 peratus kepada 1,623.50 daripada 1,622.42 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.20 mata lebih rendah pada 1,621.22, paras terendah untuk hari tersebut dan mencapai paras tertinggi 1,630.91 pada sesi pertengahan pagi dagangan.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah negatif dengan 905 kaunter rugi mengatasi 321 kaunter untung manakala 511 kaunter tidak berubah, 910 tidak diniagakan dan 13 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.59 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 3.25 bilion unit bernilai RM2.48 bilion pada Isnin.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, walaupun kaunter perkhidmatan kewangan kekal sebagai pemacu utama yang menyokong indeks petunjuk pasaran, penyertaan pasaran keseluruhan bercampur-campur apabila pelabur menjadi semakin selektif menjelang pengeluaran data global utama.

"Secara global, ketidaktentuan pasaran sedikit reda apabila pelabur menyesuaikan diri dengan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan dan ia terus menyebabkan kelewatan dalam pengeluaran beberapa data ekonomi utama termasuk Kaji Selidik Tawaran Kerja dan Jumlah Tenaga Kerja (JOLTS) serta kemungkinan data Gaji Bukan Pertanian (NFP) pada Jumaat.

"Sentimen global mungkin bergantung pada bagaimana data-data ini membentuk jangkaan terhadap laluan dasar Rizab Persekutuan AS dan persekitaran risiko yang lebih luas," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, di seluruh rantau ini, kebanyakan pasaran Asia ditutup lebih rendah apabila sentimen pelabur kekal berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan mengenai lonjakan saham berkaitan kecerdasan buatan dan teknologi mungkin terlalu jauh mengatasi asas-asas ekonomi.

"Kenaikan mendadak dalam penilaian saham teknologi menimbulkan kebimbangan mengenai potensi gelembung, menjadikan pasaran serantau terdedah kepada pembetulan saham teknologi AS, memandangkan kaitan rapatnya dengan selera risiko global," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank kekal pada RM9.95, Public Bank naik dua sen kepada RM4.26, CIMB Group menambah 13 sen kepada RM7.55 manakala Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM13.30 dan IHH Healthcare turun tujuh sen kepada RM8.28.

Dalam kalangan saham paling aktif, NexG susut tujuh sen kepada 28 sen, MMAG merosot 4.5 sen kepada 14 sen, Tanco hilang sembilan sen kepada 85 sen, V.S. Industry berkurangan dua sen kepada 46.5 sen manakala Genting Malaysia kekal pada RM2.34.

Dalam kalangan saham paling rugi, PJBumi merosot 75 sen kepada RM1.77, Chin Teck Plantations turun 56 sen kepada RM10.42, Malaysian Pacific Industries berkurangan 44 sen kepada RM30.56, Allianz Malaysia susut 28 sen kepada RM18.02 dan Nestle mengecil 20 sen kepada RM113.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menghapuskan 17.51 mata kepada 11,811.05, Indeks FBM Emas turun 28.84 mata kepada 12,054.16 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurang 79.67 mata kepada 12,055.43.

Indeks FBM ACE susut 95.68 mata kepada 5,076.09 dan Indeks FBM Mid 70 kehilangan 135.64 mata kepada 16,890.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 141.76 mata kepada 18,451.42 manakala Indeks Perladangan merosot 27.38 mata kepada 8,024.80, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 2.48 mata kepada 169.91 dan Indeks Tenaga susut 6.64 mata kepada 766.75.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.91 bilion unit bernilai RM2.28 bilion daripada 1.70 bilion unit bernilai RM2.20 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menurun kepada 1.02 bilion unit bernilai RM186.45 juta daripada 1.05 bilion unit bernilai RM131.14 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkembang kepada 666.89 juta unit bernilai RM180.34 juta daripada 490.56 juta unit bernilai RM144.10 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 290.61 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (368.89 juta), pembinaan (126.72 juta), teknologi (486.34 juta), perkhidmatan kewangan (66.38 juta), hartanah (268.42 juta), perladangan (27.70 juta), amanah pelaburan hartanah (14.18 juta), dana tertutup (209,300), tenaga (100 juta), penjagaan kesihatan (68.10 juta), telekomunikasi dan media (37.18 juta), pengangkutan dan logistik (24.99 juta), utiliti (25.81 juta) serta amanah perniagaan (385,200).

-- BERNAMA

#Bursa Malaysia #fbm klci #rizab persekutuan #kecerdasan buatan