[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Bursa Malaysia merosot selepas catat kenaikan

Bernama 06/10/2025 | 03:40 MYT
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 1.34 mata kepada 1,633.72 daripada 1,635.06 semasa ditutup pada Jumaat lepas selepas dibuka tinggi 1.08 mata kepada 1,636.14. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, disokong oleh pasaran serantau yang kukuh tetapi kemudian merosot berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana menjejaskan saham wajaran tinggi terpilih, kata penganalisis.


Ringkasan AI
  • Bursa Malaysia dibuka tinggi disokong pasaran serantau tetapi merosot semula akibat aktiviti pengambilan untung terhadap saham wajaran tinggi.
  • Sentimen keseluruhan kekal positif dengan jumlah dagangan meningkat dan dana asing dijangka kembali menyokong pasaran.
  • Saham tenaga dan perladangan mencatat kenaikan manakala sektor kewangan dan beberapa saham utama seperti CIMB dan IHH mencatat penurunan.


Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 1.34 mata kepada 1,633.72 daripada 1,635.06 semasa ditutup pada Jumaat lepas selepas dibuka tinggi 1.08 mata kepada 1,636.14.

Pasaran secara menyeluruh kekal positif dengan 200 kaunter untung mengatasi 177 kaunter rugi manakala 367 kaunter tidak berubah, 1,820 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 258.73 juta unit bernilai RM104.81 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street tidak bimbang mengenai penutupan kerajaan AS dengan indeks utama mencatatkan paras tertinggi sebelum aktiviti pengambilan untung.

"Bagaimanapun, terdapat kebimbangan asas mengenai keadaan ekonomi dan pasaran tenaga kerja AS," katanya, sambil menambah hasil bon AS untuk tempoh 10 tahun meningkat kepada 4.121 peratus.

"Melangkah ke hadapan, kami percaya dagangan di bursa tempatan akan kekal baik berdasarkan jumlah dagangan harian yang meningkat.

"Kembalinya dana asing boleh menjadi pemangkin dan kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,635 hingga 1,650 hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM13.32 manakala Maybank dan Public Bank, masing-masing mendatar pada RM10 dan RM4.34. CIMB merosot empat sen kepada RM7.64 dan IHH Healthcare berkurangan satu sen kepada RM8.12.

Dalam dagangan aktif, KNM Group merosot 2.5 sen kepada RM0.50, NexG meningkat satu sen kepada RM0.53, NexG Bina tidak berubah pada RM0.095, Erdasan Group naik 1.5 sen kepada RM0.14 dan Sarawak Consolidated menambah satu sen kepada RM0.22.

Kaunter paling untung termasuklah KESM Industries meningkat lapan sen kepada RM3.94, KJTS Group naik tujuh sen kepada RM1.79, PJBumi dan Sarawak Plantation, masing-masing menambah enam sen kepada RM2.16 dan RM2.14 serta Panasonic Manufacturing Malaysia menokok lima sen kepada RM0.588.

Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries dan Ayer Holdings, masing-masing merosot lapan sen kepada RM31.14 dan RM7.60, SAM Engineering dan Kein Hing International, masing-masing berkurangan tujuh sen kepada RM4.48 dan RM1.17 serta Gamuda menurun enam sen kepada RM5.44.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 6.83 mata kepada 12,174.84, Indeks FBM 100 merosot 9.89 mata kepada 11,899.07 manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 1.71 mata kepada 12,195.44.

Indeks FBM 70 berkurangan 14.85 mata kepada 17,075.35 manakala Indeks FBM ACE meningkat 20.50 mata kepada 5,367.62.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.06 mata kepada 17,429, Indeks Tenaga meningkat 0.73 mata kepada 788.39, Indeks Perladangan naik 12.17 mata kepada 7,808.81 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 21.63 mata kepada 18,580.77.

-- BERNAMA


#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #Maybank