Bursa Malaysia pulih daripada penurunan 2 hari berturut-turut

Bernama
Jun 9, 2023 11:52 MYT
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sedikit sebanyak 1.44 mata atau 0.11 peratus kepada 1,376.08 daripada paras penutup 1,374.64 pada Khamis. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia pulih daripada penurunan dua hari berturut-turut untuk ditutup tinggi sedikit hari ini seiring dengan aliran meningkat di bursa serantau, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sedikit sebanyak 1.44 mata atau 0.11 peratus kepada 1,376.08 daripada paras penutup 1,374.64 pada Khamis.
Indeks utama dibuka tinggi naik 0.94 mata kepada 1,375.58 pagi ini dan bergerak antara paras 1,373.08 dan 1,381.26 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 489 berbanding 341, manakala 445 kaunter tidak berubah, 968 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.34 bilion unit bernilai RM1.49 bilion daripada 2.68 bilion unit bernilai RM1.61 bilion pada Khamis.
Penganalisis kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI melantun semula daripada penurunan pada sesi selepas dagangan pagi susulan aktiviti membeli saham berharga rendah sederhana dalam saham terlebih jual.
"Bagaimanapun, kenaikan di bursa tempatan adalah minimum, susulan penurunan berterusan dalam saham wajaran tinggi perbankan dan berkaitan Petronas," katanya kepada Bernama.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau ditutup kebanyakannya tinggi berikutan keyakinan terhadap potensi rangsangan ekonomi di China.
Selain itu, katanya, para pelabur cenderung berpandangan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) kemungkinan tidak akan menaikkan kadar faedah pada mesyuaratnya minggu depan, yang seterusnya meningkatkan sentimen serantau.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.62, Public Bank meningkat satu sen kepada RM3.82 dan Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM9.18. CIMB menambah lima sen kepada RM4.95 manakala Petronas Chemicals jatuh dua sen kepada RM6.40.
Dalam kalangan kaunter cergas, XOX, Borneo Oil, Sapura Energy dan Parlo semuanya tidak berubah masing-masing pada 1.5 sen, 1.5 sen, 3.5 sen, dan 12.5 sen. Sarawak Consolidated naik dua sen kepada 30 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 27.70 mata kepada 10,151.98, Indeks FBMT 100 naik 23.42 mata kepada 9,849.87 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 31.83 mata kepada 10,482.06.
Indeks FBM ACE menokok 79.69 mata kepada 5,050.83, dan Indeks FBM 70 naik 86.06 mata kepada 13,435.83.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.23 mata kepada 157.91, Indeks Perladangan naik 41.64 mata kepada 6,686.64 dan Indeks Tenaga menambah 12.49 mata kepada 791.30.
Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.43 mata kepada 15,139.96.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menambah kepada 2.06 bilion unit bernilai RM1.26 bilion daripada 1.74 bilion unit bernilai RM1.37 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 351.56 juta unit bernilai RM49.99 juta daripada 294.33 juta unit bernilai RM43.74 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 933.33 juta saham bernilai RM176.55 juta daripada 646.14 juta saham bernilai RM202.85 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 390.03 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (726.77 juta); pembinaan (68.76 juta); teknologi (137.69 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (43.88 juta); hartanah (188.03 juta); perladangan (51.96 juta); REITs (4.45 juta), dana tertutup (4,000); tenaga (274.99 juta); penjagaan kesihatan (48.50 juta); telekomunikasi dan media (36.09 juta); pengangkutan dan logistik (36.57 juta); dan utiliti (51.22 juta).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Pulih #pasaran saham #fbm klci