Bursa Malaysia teruskan kenaikan disokong aktiviti memperelok akaun

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.39 mata, atau 0.32 peratus, kepada 1,671.29, yang merupakan paras tertinggi hariannya, daripada paras penutup 1,665.90 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin, kekal hampir di paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan seiring dengan prestasi kebanyakannya positif di pasaran serantau serta disokong oleh aktiviti memperelokkan akaun akhir tahun.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.39 mata, atau 0.32 peratus, kepada 1,671.29, yang merupakan paras tertinggi hariannya, daripada paras penutup 1,665.90 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks utama dibuka rendah turun 1.62 mata kepada 1,664.28 dan susut ke paras terendah harian dalam dagangan awal .Pasaran kemudian diniagakan secara tidak menentu sebelum mendapat momentum kembali pada sesi petang dan diniagakan lebih tinggi menjelang sesi penutup.
Keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 520 berbanding 515 manakala 551 kaunter tidak berubah, 1,193 tidak diniagakan dan 16 digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 2.36 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 2.75 bilion unit bernilai RM3.08 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Ketua penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leong, berkata FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran positif,sederhana hingga neutral, disokong oleh sentimen serantau yang stabil dan pembelian terpilih dalam kaunter wajaran tinggi utama.
"Para pelabur akan memantau data kedua keluaran dalam negara kasar suku ketiga 2025 Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan dikeluarkan esok untuk menilai keadaan ekonomi terbesar dunia itu," katanya kepada Bernama.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng yang sependapat dengan Leong berkata indeks serantau utama kebanyakannya ditutup lebih tinggi, seiring dengan kenaikan kaunter teknologi di Wall Street pada Jumaat minggu lepas.
Beliau berkata prospek kenaikan pada penghujung akhir tahun dijangka cerah apabila berlakunya aktiviti membeli saham berharga rendah pada lewat minggu lepas, yang seterusnya menyokong ekuiti yang berdepan risiko penurunan disebabkan oleh ketidaktentuan berkaitan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM10.48, Public Bank naik satu sen kepada RM4.53, Tenaga Nasional meningkat 18 sen kepada RM13.54, dan IHH Healthcare menokok 10 sen kepada RM8.62, manakala CIMB tidak berubah pada RM8.15.
Dalam kalangan kaunter paling cergas, Pharmaniaga, Zetrix AI dan Tanco tidak berubah masing-masing pada 28 sen, 80.5 sen dan RM1.13, V.S. Industry susut satu sen kepada 48 sen, manakala Dagang NeXchange meningkat 1.5 sen kepada 31 sen.
Dalam kalangan saham paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 38 sen kepada RM32.58, Malayan Cement menambah 33 sen kepada RM7.23, Hong Leong Financial naik 32 sen kepada RM18.58, manakala Hong Leong Industries dan Coastal Contracts menambah 20 sen masing-masing kepada RM16.70 dan RM1.42.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 31.11 mata kepada 12,264.19, Indeks FBM Top 100 melonjak 31.69 mata kepada 12,062.44, Indeks FBM ACE menokok 11.02 mata kepada 4,825.90, Indeks FBM Emas Shariah menambah 36.71 mata kepada 12,062.41, dan Indeks FBM 70 naik 11.54 mata kepada 16,824.73.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 59.89 mata kepada 19,621.64, Indeks Perladangan turun 54.60 mata kepada 8,236.56, dan Indeks Tenaga susut 2.80 mata kepada 766.18, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.24 mata kepada 172.63.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.23 bilion unit bernilai RM1.77 bilion daripada 1.66 bilion unit bernilai RM2.85 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 849.32 juta unit bernilai RM100.87 juta daripada 794.27 juta unit bernilai RM99.54 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 277.20 juta unit bernilai RM106.49 juta daripada 302.31 juta unit bernilai RM128.77 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 197.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (206.08 juta), pembinaan (79.17 juta), teknologi (214.99 juta), perkhidmatan kewangan (63.76 juta), hartanah (133.33 juta), perladangan (20.05 juta), amanah pelaburan hartanah (16.94 juta), dana tertutup (9,000), tenaga (90.94 juta), penjagaan kesihatan (127.07 juta), telekomunikasi dan media (29.66 juta), pengangkutan dan logistik (30.18 juta), utiliti (24.52 juta), dan amanah perniagaan (143,600).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


