BUSINESS
BYD atasi Tesla, catat pendapatan AS$107.2 bilion pada 2024
Kenderaan elektrik BYD dipamerkan pada Pameran Motor Antarabangsa Bangkok ke-46 di Bangkok, Thailand, 24 Mac 2025. - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Syarikat gergasi kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD Co Ltd mencatatkan pendapatan sebanyak CN¥777.1 bilion (AS$107.2 bilion) pada 2024.
Ia sekali gus mengatasi jumlah pendapatan Tesla Inc yang bernilai AS$97.7 bilion, memetik pemfailan yang diterbitkan di Bursa Saham Shenzhen (SZSE) pada Isnin.
Pendapatan tersebut meningkat 29 peratus berbanding tahun sebelumnya, melebihi unjuran Bloomberg sebanyak CN¥766 bilion.
Keuntungan bersih BYD bagi tahun tersebut adalah CN¥40.3 bilion, meningkat 34 peratus dan merupakan rekod tertinggi syarikat itu.
Keuntungan bersih suku keempat pula mencecah CN¥15 bilion, menurut syarikat itu.
Berpangkalan di Shenzhen, BYD telah mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran EV China, yang merupakan pasaran terbesar di dunia.
Syarikat itu juga giat mengembangkan operasi ke pasaran antarabangsa, khususnya di Eropah dengan memperkenalkan model elektrik kompak baharu serta teknologi pengecasan pantas untuk bersaing dengan jenama terkemuka.
Pada Januari lalu, BYD mengumumkan bahawa jualan kenderaan bagi 2024 meningkat lebih 40 peratus kepada hampir 4.3 juta unit, manakala jualan pada Februari melonjak 161 peratus kepada 318,000 unit, jauh mengatasi kemerosotan Tesla dalam tempoh yang sama.
Walaupun mencatat prestasi kukuh, pengembangan BYD berdepan cabaran geopolitik dan perdagangan, terutamanya di Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
Naib Presiden BYD, Stella Li, baru-baru ini menyatakan bahawa pendaftaran kenderaan di Eropah dijangka meningkat pada Mac dan April, disokong oleh kempen pengiklanan besar-besaran serta pembukaan pusat pameran baharu.
Syarikat itu, yang menaja Kejohanan Bola Sepak Eropah UEFA 2024, sedang giat memperkukuh kehadirannya di benua tersebut.
Bagaimanapun, pihak berkuasa EU dilaporkan sedang menyiasat sama ada BYD menerima subsidi tidak adil daripada kerajaan China bagi pembinaan kilang pertamanya di Eropah, yang terletak di Hungary dan dijadualkan memulakan pengeluaran menjelang akhir 2025.
Di Amerika Syarikat, tarif lebih tinggi terhadap import dari China yang dikenakan oleh Presiden AS Donald Trump terhadap penggunaan teknologi China dalam kenderaan pintar, turut menambah cabaran bagi BYD.
Kejayaan terkini BYD dalam inovasi teknologi, menerusi bateri dan sistem pengecasan Super e-Platform, dijangka memberi kelebihan dalam segmen pengecasan pantas EV.
Syarikat itu mendakwa bahawa sistem baharu ini mampu mencapai kelajuan pengecasan puncak 1,000 kilowatt, membolehkan kenderaan mencapai jarak perjalanan sehingga 470 kilometer dengan hanya lima minit pengecasan—satu pencapaian ketara berbanding Tesla Supercharger, yang kini menawarkan kelajuan 500 kilowatt.