[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
BUSINESS

BZI labur RM2.19 bilion bangunkan kilang penapisan SAF di Pelabuhan Klang

Pia Ernadya 25/04/2025 | 08:00 MYT
Sidang media Majlis Pengumuman Pelaburan di antara Bin Zayed International dan FatHopes Energy, hari ini. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) melabur sebanyak AS$500 juta (RM2.19 bilion) bagi membangunkan kilang penapisan Sustainable Aviation Fuel (SAF) di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ringkasan AI
  • Bin Zayed International Group of Companies (BZI) melabur AS$500 juta untuk membangunkan kilang penapisan Sustainable Aviation Fuel (SAF) di Pelabuhan Klang.
  • Projek kini dalam fasa mendapatkan kelulusan tapak, dengan kerja-kerja fizikal dijangka bermula dalam tempoh 12 bulan dan operasi komersial penuh pada 2029.
  • Kilang ini disasarkan untuk mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000 tan setahun, menggunakan pelbagai jenis minyak buangan sebagai bahan mentah.

Menurut Pengarah Urusan BZI Malaysia dan Pengarah Eksekutif BZI Singapura, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy, pelaburan berskala besar itu diumumkan susulan termeterainya kerjasama strategik di antara BZI dan syarikat tenaga mampan tempatan, FatHopes Energy (FHE), dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab utama pengeluaran SAF di Asia Tenggara.
“Jumlah yang dijangkakan atau dianggarkan diperlukan untuk menyiapkan loji penapisan ini adalah sekitar AS$500 juta.
“Buat masa ini, kami menanggung keseluruhan jumlah tersebut sendiri, dan perkara ini telah pun dilakukan,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Majlis Pengumuman Pelaburan di antara Bin Zayed International dan FatHopes Energy, di ibu negara, hari ini.
Ujarnya, projek berkenaan kini berada dalam fasa mendapatkan kelulusan tapak, dengan kerja-kerja fizikal dijangka bermula dalam tempoh 12 bulan dari sekarang.
“Berdasarkan dapatan dan kemas kini daripada FHE, mereka kini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan dan kebenaran yang diperlukan sebelum memulakan kerja-kerja tapak.
“Saya percaya perkara ini akan mengambil masa kira-kira setahun dari sekarang dan dijangka boleh memulakan kerja-kerja tapak,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Final Investment Decision (FID) disasarkan menjelang pertengahan 2026, manakala operasi komersial penuh dijangka bermula pada 2029.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif FHE, Vinesh Sinha.
Menurut Vinesh, kilang itu disasarkan untuk mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000 tan setahun.
"Bagi mencapai kapasiti ini, ia akan memerlukan kira-kira 330,000 tan bahan mentah. Sumber utama bahan mentah ini akan terdiri daripada sisa dan bahan buangan, yang menjadi asas kepada tenaga yang dihasilkan.
"Penting untuk ditegaskan bahawa kilang penapisan ini tidak akan bergantung sepenuhnya kepada minyak masak terpakai.
Sebaliknya, pelbagai jenis minyak buangan akan digunakan, termasuk sisa minyak daripada sektor runcit dan komersial - yang akan menjadi keutamaan utama,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Nik Nazmi dalam ucapannya berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada BZI atas keyakinan dan pelaburan mereka di Malaysia, serta kepada FHE atas kepakaran tempatan dalam sektor biofuel.
“Dengan pelaburan seperti yang dilakukan oleh BZI juga, kita bukan sekadar menyokong perniagaan, tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dan global dalam agenda kelestarian.
“Kerajaan MADANI komited menyokong usahawan berpotensi tinggi seperti FHE sendiri untuk memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi hijau negara,” katanya.
Ujarnya, projek ini bukan sahaja meletakkan Malaysia di hadapan dalam pengeluaran penapisan SAF, tetapi juga memperlihatkan kepemimpinan berwawasan yang diperlukan untuk masa depan.
#BZI Malaysia #Bin Zayed International Group of Companies #Shamir Kumar Nandy #saf #FatHopes Energy