KUALA LUMPUR: Kumpulan Bank Dunia menerusi cabang sektor swastanya, Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC), telah melabur RM155.6 juta dalam Zetrix AI Bhd.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, Zetrix AI menjelaskan pelaburan itu bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan infrastruktur awam digital di Malaysia dan pasaran yang sedang pesat membangun di seluruh rantau dan luar ASEAN.
Advertisement
Perkhidmatan baharu itu akan disepadukan dengan ekosistem digital Malaysia menerusi MyDigital ID, sistem identiti digital negara, serta Infrastruktur Blockchain Malaysia (MBI), rangkaian perkhidmatan rantaian blok nasional negara, tambah Zetrix AI.
Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia, Judith Green berkata pelaburan itu membuktikan komitmen IFC dalam memajukan agenda transformasi digital Malaysia, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Pembangunan perkhidmatan infrastruktur awam digital penting bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh daya saing ekonomi serta memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata meliputi dokumen identiti digital, pemprosesan pelepasan kastam yang didigitalkan, model bahasa berskala besar serta stablecoin, fungsi rentas sempadan dalam rantaian blockchain dan kecerdasan buatan di dunia sebenar bertujuan memangkinkan transformasi disruptif di seluruh ASEAN serta membolehkan integrasi sosioekonomi yang lebih teguh di rantau ini.
“Menerusi penyertaan dan akses pasaran daripada IFC, kami akan mempercepat rancangan pengembangan global kami,” katanya.
-- BERNAMA