BISNES

Cadangan Terminal 3 operasi haji, umrah dibina di KLIA belum pernah diterima MAHB

Dagang News 20/07/2025 | 01:30 MYT
Mohd Izani berkata, MAHB secara am tidak pasti sama ada terminal haji dan umrah itu disenaraikan semula kerajaan pada RMK-13 kerana belum ada mana-mana pihak membincangkannya. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan belum pernah menerima cadangan pembinaan Terminal 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kumpulan berkenaan juga tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak mengenai perancangan pembangunan terminal khas untuk operasi haji dan umrah itu.

Bagaimanapun tambah beliau, MAHB sedia bekerjasama dengan pihak kerajaan dan pelbagai agensi yang berkaitan sekiranya projek tersebut mahu dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

"Setakat ini saya mengesahkan dalam pelan lima tahun MAHB sendiri memang tiada cadangan Terminal 3 walaupun sebelum ini ada spekulasi mengenai terminal baharu itu," katanya kepada DagangNews.Com.

MAHB pernah dilaporkan ingin membina balik Terminal 3 yang dicadangkan sebelum itu dalam Pelan Induk KLIA 2020 dengan buat permulaannya ia mampu menampung kapasiti lima juta penumpang setahun.

Rancangan itu turut disuarakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Saleh Naser Al-Jaseer, ketika menghadiri Forum Penerbangan Masa Depan 2024 di Riyadh.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, MAHB secara am tidak pasti sama ada terminal haji dan umrah itu disenaraikan semula kerajaan pada RMK-13 kerana belum ada mana-mana pihak membincangkannya.

"Kelazimannya, apabila ada cadangan melibatkan MAHB terutama KLIA sendiri, kami akan dipanggil bagi memberi penilaian awal sebelum idea itu dibawa kepada Majlis Perancang Fizikal Negara," katanya.

Langkah itu tambah beliau, merupakan prosedur biasa apatah lagi desas-desus menyatakan terminal tersebut akan menyebabkan KLIA perlu membina landasan baharu yang menjadi landasan keempat.

Justeru, beliau terbuka mendengar sebarang cadangan serta berharap ia menjadikan Malaysia sebagai hab umrah ASEAN selaras misi yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Mohd Izani namun enggan mengulas mengenai lokasi sebenar terminal itu walaupun replika model Terminal 1 KLIA menjadi tumpuan ramai kerana menunjukkan ia kemungkinan bersebelahan Bangunan Satelit A.

"Itu mungkin cakap-cakap orang sahaja tetapi saya sendiri secara jujur tidak tahu mengenai perkara ini," kata Mohd Izani apabila merujuk status kawasan berumput lapang di situ yang masih terbiar lama.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat media mengenai pelaksanaan dan perancangan kumpulan itu dengan melibatkan kesemua 39 lapangan terbang yang dikendalikannya di seluruh negara pada masa ini.

Ditanya pemberita mengenai isu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang agak lengang ketika ini berbanding Pulau Pinang, beliau menafikan situasi itu disebabkan Kedah dikuasai pihak pembangkang.

Katanya, pihak MAHB sering melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan secara berterusan di terminalnya dengan langkah yang sama turut dilakukan di Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu.

"Sebenarnya, saya melihat keadaan ini kerana kurang promosi dan jika ada, ia dibuat berasingan oleh pihak terbabit seperti Tourism Kedah, padahal sepatutnya secara bersama agar lebih tersusun," tambahnya.

Langkawi kata Mohd Izani, kekurangan pemasaran dan keadaan itu jauh berbeza daripada Pulau Pinang, sedangkan dari segi status, pulau itu berpotensi tinggi seperti Bali, Indonesia atau Phuket, Thailand.

Sementara itu, ditanya apakah MAHB mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu, beliau menegaskan dari sudut perjanjian operasi, ia menyelia terminal udara awam di negara ini.

Ia susulan laporan yang menyatakan kerajaan Sarawak mahu menguruskan sendiri lapangan terbang itu apabila siap kelak, manakala premis sedia ada pula akan kekal di bawah kawalan MAHB seperti biasa.

"Saya belum lagi dihubungi oleh pihak kerajaan negeri mengenai isu tersebut tetapi apa yang boleh disebut, secara kelaziman, lapangan terbang lama memang akan dirobohkan," katanya. - DagangNews.com





#KLIA #Terminal 3 #Mohd Izani Ghani #lapangan terbang #MAHB