KUALA LUMPUR: Cagamas Bhd berjaya memuktamadkan terbitan sukuk dan bon bernilai RM499 juta di pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus menjadikan jumlah dana dikumpul oleh syarikat tersebut mencecah RM6.34 bilion setakat tahun ini.

Terbitan itu masing-masing merangkumi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi tempoh dua tahun bernilai RM200 juta dan Nota Jangka Sederhana Kadar Tetap dolar Singapura selama tiga tahun bernilai S$90 juta (S$1=RM3.34), demikian menurut perbadanan gadai janji nasional itu dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chung Chee Leong berkata Cagamas berpuas hati dengan penerbitan itu berikutan permintaan terhadap nota berkenaan terus mendapat tarikan dalam ketidaktentuan sektor perbankan AS serta jangkaan kenaikan seterusnya kadar faedah pada tahap lebih perlahan.

"Hasil daripada terbitan ini akan digunakan bagi menampung pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan perumahan daripada sistem kewangan domestik. Ini juga memaparkan penyediaan mudah tunai berterusan oleh syarikat kepada sistem perbankan domestik," katanya.

Chung berkata pemuktamadan terbitan dolar Singapura terbabit menjadikan jumlah terbitan dalam denominasi mata wang berkenaan setakat tahun ini kepada S$470 juta manakala IMTN dua tahun berkenaan ditetapkan pada harga menerusi langkah penempatan swasta.

-- BERNAMA