KUALA LUMPUR: Setiap transaksi pengeluaran wang antara bank menerusi mesin pengeluaran automatik (ATM) akan dikenakan caj RM1 bermula esok.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh beberapa bank sejak Disember tahun lalu seperti Maybank, Bank Islam, CIMB, RHB Bank, Citibank dan HSBC.

"Harap maklum bahawa mulai dari 1 Februari 2022, caj transaksi RM1.00 untuk pengeluaran Wang Tunai Antara Bank di ATM akan dilaksanakan semula.

"Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM Maybank," memetik perkongsian di Facebook Maybank pada 15 Disember lalu.


Pada tarikh sama, CIMB turut memaklumkan perkara sama kepada pelanggan mereka.

"Berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1.00 akan dikenakan keatas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/ CIMB Islamic.

"Anda masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM/ mesin layan diri kami," memetik kenyataan itu.


Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu dikenakan caj RM1.

Caj RM1 dikenakan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) kepada pelanggan.

Bank Negara Malaysia (BNM) adalah pemegang saham terbesar dalam PayNet, manakala baki sahamnya dikuasai konsortium 11 bank.