SEPANG: Capital A Bhd menandatangani surat tawaran tidak terikat dengan AirAsia X Bhd (AAX) untuk cadangan melupuskan perniagaan penerbangannya iaitu AirAsia Bhd (AirAsia Malaysia) dan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL).

AAAGL mengendalikan perkhidmatan penerbangan penumpang melalui anak syarikat di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata langkah strategik itu bertujuan untuk memperkemaskan operasi kumpulan itu dan memudahkan penilaian berteraskan perniagaan bagi entiti berasingan yang berpotensi menghasilkan nilai lebih besar kepada pemegang saham.

"Kami perlu mengumpul dana untuk pengembangan perniagaan tetapi mendapatkan akses kepada modal adalah mencabar kerana status Nota Amalan 17 (PN17) Capital A.

"Capital A telah berhubung dengan pelabur yang komited, mereka menyatakan untuk terlibat dalam perniagaan penerbangan sepenuhnya," katanya semasa taklimat media AirAsia Aviation Group di sini semalam.

Fernandes berkata bagi menangani perkara ini dan memastikan suntikan kewangan kukuh, Capital A meneruskan penjualan perniagaan penerbangannya kepada AAX untuk mewujudkan perniagaan penerbangan murni, menggabungkan kedua-dua syarikat penerbangan jarak jauh dan pendek di bawah jenama AirAsia, tertakluk kepada rundingan perjanjian jual beli saham yang muktamad dan penyempurnaannya.

"Susulan pelupusan itu, perniagaan penerbangan bersedia untuk mendapat manfaat daripada pengurusan berfokus dan hala tuju strategik yang jelas yang akan meningkatkan kapasiti perniagaan penerbangan itu bagi meraih peluang pertumbuhan, mengembangkan bahagian pasaran dan mencapai keuntungan yang dipertingkatkan," katanya.

Beliau juga meluahkan keyakinan bahawa melalui pengasingan perniagaan penerbangan daripada Capital A, perniagaan bukan penerbangan dalam kumpulan itu ketika ini di bawah nilai di pasaran, ia juga diiktiraf bagi nilai serta potensi intrisiknya.

Fernandes berkata syarikat di bawah Capital A termasuk Teleport (logistik), Capital A Aviation Services (penyelenggaraan, pembaikan dan operasi, dan perkhidmatan dalam penerbangan) dan Move Digital juga akan menjana modal, menawarkan pemegang saham peningkatan saham Capital A mereka serta saham dalam kumpulan penerbangan yang diperbesarkan di bawah pengedaran saham yang dicadangkan.

Berikutan penjualan perniagaan penerbangan berkenaan, pemegang saham Capital A akan menjadi pemegang saham dua syarikat tersenarai yang kukuh, katanya.

"Kami percaya langkah ini akan membawa lebih kejelasan kepada pelaburan, mewujudkan asas pemegang saham yang lebih fokus, dan membuka kunci nilai untuk pemegang saham kami," katanya.

Fernandes berkata keputusan untuk mencipta entiti perniagaan penerbangan sepenuhnya adalah sejajar dengan pilihan pasaran, memberikan pemahaman, penilaian dan penghargaan yang lebih jelas untuk kekuatan berbeza dalam perniagaan penerbangan dan bukan penerbangan.

Sementara itu, Capital A dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata cadangan pelupusan kepada AAX itu bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti perniagaan teras Capital A dan anak syarikatnya untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan penerbangan dan perniagaan digital.

Selepas pelupusan itu selesai, perkhidmatan penerbangan dan perniagaan digital akan merangkumi Asia Digital Engineering Sdn Bhd, AirAsia SuperApp Sdn Bhd, Teleport Everywhere Pte Ltd dan BigPay Pte Ltd.

"Selain itu, pemegang saham berhak Capital A dijangka terus memegang saham dalam segmen penerbangan melalui AAX atau syarikat berkaitan AAX yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities menerusi cadangan pengagihan," katanya.

Capital A berkata pengumuman mengenai cadangan pelupusan itu akan dibuat semasa menandatangani perjanjian muktamad.

Mengenai prospek, Fernandes berkata kumpulan itu menyasarkan untuk mengendalikan 333 pesawat menjelang tahun 2028 dan sedang mempertimbangkan untuk meluaskan laluan penerbangan ke Eropah menjelang akhir tahun ini.

"Impian saya...apabila saya bersara dalam tempoh lima tahun adalah untuk mempunyai lima syarikat tersenarai, satu di Amerika Syarikat dan empat di negara ASEAN," katanya.

-- BERNAMA