BISNES

Capital A terima pengesahan Mahkamah Tinggi bagi pengurangan modal RM2.74 bilion

Bernama 08/12/2025 | 20:15 MYT
Capital A akan memulakan fasa selanjutnya sebagai kumpulan perniagaan berfokus dan tidak terlalu bergantung kepada aset besar. - Gambar fail/capitala.airasia.com
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengesahkan bahawa cadangan Capital A Bhd untuk mengurangkan modal saham terbitannya sebanyak RM2.74 bilion membuka laluan kepada rancangan untuk mengagihkan saham AirAsia X Bhd (AAX) kepada pemegang saham Capital A yang layak.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi mengesahkan cadangan Capital A Bhd untuk mengurangkan modal saham sebanyak RM2.74 bilion bagi mengagihkan saham AirAsia X Bhd (AAX) kepada pemegang saham Capital A yang layak.
  • Langkah ini merupakan penyelesaian terakhir dalam penyusunan semula Capital A selepas menamatkan perjanjian penting dan pengumuman dividen bukan tunai, serta membuka jalan untuk penjualan segmen penerbangan pada Disember 2025.
  • Selepas proses ini selesai, semua syarikat penerbangan AirAsia akan beroperasi di bawah satu platform manakala Capital A akan bergerak ke fasa perniagaan baru dengan tumpuan kepada lima bidang pertumbuhan tinggi.


Kumpulan itu dalam kenyataan semalam berkata langkah berkenaan adalah antara langkah akhir dalam proses penyusunan semulanya selepas berjaya menyelesaikan beberapa perkara penting baru-baru ini termasuk perjanjian tidak bersyarat dan pengumuman kelayakan dividen bukan tunai.

"Capital A kekal di landasan yang betul untuk menyelesaikan penjualan segmen penerbangan dan bahagian pengedaran pada Disember 2025. Semua tindakan bagi fasa akhir penyusunan semula Capital A yang dirancang berjalan lancar.

"Dengan kelulusan ini, langkah seterusnya adalah mengagihkan saham AAX kepada pemegang saham Capital A, mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi Malaya berkaitan modal menurut Pelan Penstrukturan Semula sebanyak RM5.51 bilion dan kemudiannya memohon untuk membatalkan status Nota Amalan 17 (PN17)," menurut Capital A.

Sebaik sahaja proses ini selesai, semua syarikat penerbangan AirAsia akan beroperasi di bawah platform syarikat penerbangan tunggal manakala Capital A akan memulakan fasa selanjutnya sebagai kumpulan perniagaan berfokus dan tidak terlalu bergantung kepada aset besar, dengan tumpuan kepada lima perniagaan pertumbuhan tinggi iaitu Asia Digital Engineering, Teleport, AirAsia MOVE, Santan dan AirAsia Next.

-- BERNAMA


#Airasia X #Mahkamah Tinggi #Capital A #saham