BISNES
China komited teruskan pembukaan ekonomi, peluang luas kepada MNC - Li Qiang
Li menyeru komuniti perniagaan agar mengambil langkah proaktif dan berkesan menangani pelbagai cabaran serta memacu pertumbuhan masing-masing dalam dunia yang semakin tidak menentu dan penuh risiko ini. - Foto WEF
TIANJIN: China kekal komited untuk membuka ekonominya dengan lebih meluas kepada dunia serta menyediakan peluang pembangunan yang lebih besar kepada syarikat multinasional (MNC).
Perdana Menteri Li Qiang menegaskan demikian semasa sesi perbincangan bersama wakil komuniti perniagaan global pada Mesyuarat Tahunan Juara Baharu (AMNC) Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-16, atau lebih dikenali sebagai Davos Musim Panas (Summer Davos), yang berlangsung di sini, pada Rabu.
Li berkata, pertumbuhan ekonomi China yang stabil bukan sahaja disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan dasar makro yang mantap, malah turut bergantung kepada peranan pasaran dan perusahaan.
Beliau turut mengiktiraf sumbangan besar syarikat pelaburan asing, sambil menekankan bahawa China menyediakan ruang pembangunan yang luas untuk mereka.
Dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu dan penuh risiko yang saling berkait, Li menyeru agar komuniti perniagaan mengambil langkah proaktif dan berkesan untuk menangani pelbagai cabaran serta memacu pertumbuhan masing-masing.
Beliau turut menggariskan tiga bidang utama di mana China menawarkan kelebihan unik kepada MNC.
Pertama, dalam konteks penyusunan semula industri global, kualiti dan kecekapan industri sokongan menjadi semakin penting.
Menurut Li, kekuatan syarikat multinasional dari segi jenama, rangkaian global dan teknologi boleh menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi apabila digabungkan dengan sistem perindustrian China yang mantap.
Kedua, dengan kemajuan pesat revolusi teknologi baharu, kadar perindustrian dan inovasi teknologi kini lebih kritikal berbanding sebelum ini.
Interaksi yang cekap antara inovasi sains dan teknologi serta inovasi industri di China membuka peluang besar kepada syarikat antarabangsa untuk menjalinkan kerjasama dan inovasi teknologi.
Ketiga, beliau menekankan kepentingan persekitaran perniagaan yang stabil dalam menghadapi ketidaktentuan dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
Ekonomi China, katanya, menunjukkan daya tahan yang kukuh dan keupayaan untuk mengekalkan momentumnya walaupun berdepan kejutan luaran.
Li turut menegaskan bahawa komitmen China terhadap keterbukaan akan terus menyediakan peluang pembangunan yang lebih baik kepada MNC.
Beliau mengalu-alukan kehadiran syarikat dari seluruh dunia untuk terus melabur dan menjalankan perniagaan di China, seiring dengan pertumbuhan berterusan ekonomi negara itu.
Sesi perbincangan bersama Perdana Menteri China itu menarik penyertaan kira-kira 160 wakil perniagaan dari lebih 30 negara dan wilayah.
Pada pertemuan itu, para peserta menyuarakan keyakinan terhadap prospek ekonomi China dan menyatakan hasrat untuk terus mengembangkan kehadiran mereka di pasaran China serta menyumbang kepada pembangunan berkualiti tinggi negara itu.