BISNES
CIMB lantik bekas pengerusi SC Syed Zaid sebagai pengerusi baharu
CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) mengumumkan pelantikan Datuk Syed Zaid Albar sebagai pengerusi kumpulan berkuat kuasa 20 Julai 2025. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) mengumumkan pelantikan Datuk Syed Zaid Albar sebagai pengerusi kumpulan berkuat kuasa 20 Julai 2025.
Beliau akan menggantikan Tan Sri Mohd Nasir Ahmad yang akan bersara daripada lembaga pengarah pada 19 Julai 2025.
CIMB dalam kenyataan hari ini berkata, seiring dengan peralihan itu, Syed Zaid akan dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bebas berkuat kuasa 18 Jun 2025.
Mohd Nasir dalam kenyataan sama berkata kepimpinan Syed Zaid dan pengalaman korporat yang luas merangkumi industri perundangan, landskap kewangan dan kawal selia akan memberikan perspektif bernilai dalam membimbing CIMB melalui pertumbuhan dan transformasi seterusnya.
"Kami yakin kepimpinan beliau akan memberikan panduan yang kukuh dalam memacu kejayaan pelan strategik Forward30 kumpulan ini," katanya
Menurut CIMB Syed Zaid adalah peguam dengan pengalaman selama empat dekad merangkumi pelbagai bidang, dengan penekanan khusus dalam perkhidmatan kewangan dan nasihat korporat.
Beliau meninggalkan kerjaya guaman pada 2018 untuk menyandang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), iaitu jawatan yang dipegang beliau sehingga pertengahan 2022.
"Sepanjang perkhidmatan beliau di SC, beliau berperanan penting dalam memperkukuh tadbir urus, pengawasan kawal selia serta pembangunan pasaran modal Malaysia sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CIMB Novan Amirudin berkata syarikat berharap untuk mendapatkan bimbingan daripada Syed Zaid ketika bank berkenaan melaksanakan pelan strategik Forward30 untuk tempoh enam tahun akan datang, yang berteraskan matlamat kumpulan untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.
"Matlamat kami adalah untuk menjadi bank paling utama dalam ASEAN, menyusun semula perbankan dengan menjadikan kami sebahagian daripada kehidupan pelanggan dan mengekalkan pelanggan sebagai teras kepada semua perkara yang kami lakukan," katanya.
-- BERNAMA