Skip to main content

Bisnes

CIMB pertimbang nyah senarai CIMB Niaga di Indonesia

CIMB Group mempergiat usaha untuk menyahsenaraikan PT Bank CIMB Niaga Tbk dan akan berbincang dengan pihak pengawal selia mengenai langkah tersebut.
CIMB Group mempergiat usaha untuk menyahsenaraikan PT Bank CIMB Niaga Tbk dan akan berbincang dengan pihak pengawal selia mengenai langkah tersebut.

Advertisement

Ringkasan AI

  • CIMB Group mempergiat usaha untuk menyahsenaraikan PT Bank CIMB Niaga Tbk dan akan berbincang dengan pihak pengawal selia mengenai langkah tersebut.
  • Tiga pilihan dipertimbangkan untuk memenuhi keperluan minimum pegangan awam, termasuk penempatan saham, IPO semula, dan penswastaan yang dianggap lebih strategik.
  • CIMB memiliki 92.5 peratus kepentingan dalam CIMB Niaga, dengan nilai pembelian penswastaan dianggarkan sehingga RM871 juta pada premium 30 peratus.

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd mempergiat usaha untuk menyahsenaraikan anak syarikatnya di Indonesia, PT Bank CIMB Niaga Tbk, dan merancang mengadakan perbincangan dengan pihak pengawal selia berhubung langkah itu, menurut CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB).

Dalam nota penyelidikan hari ini, CIMB IB berkata langkah itu didorong pandangan CIMB bahawa CIMB Niaga masih dinilai rendah, selain prospek jangka panjang Indonesia yang positif, khususnya berdasarkan kekuatan Niaga dalam pengurusan kekayaan, perbankan korporat, hubungan serantau ASEAN, perbankan bagi segmen berpendapatan sederhana tinggi serta perbankan Syariah.

Menurut CIMB IB, tiga pilihan masih dipertimbangkan bagi menangani keperluan minimum pegangan awam CIMB Niaga, iaitu penempatan saham kepada pelabur strategik pada penilaian yang boleh diterima, tawaran awam permulaan (IPO) semula yang dilihat kurang berkemungkinan dalam keadaan pasaran Indonesia ketika ini, serta penswastaan yang dianggap pilihan lebih strategik dan berdaya maju.

“CIMB menyatakan terdapat pelbagai pilihan penyahsenaraian, termasuk aturan yang membolehkan pemegang saham minoriti mengekalkan pegangan selepas penyahsenaraian, dengan merujuk kepada aturan pemilikan minoriti terdahulu di CIMB Thai dan CIMB Bank Malaysia sebagai contoh,” kata CIMB IB.

Bank pelaburan itu berkata pengekalan pembayaran dividen daripada CIMB Niaga kepada kumpulan, kekal sebagai pertimbangan utama dalam menilai sebarang langkah strategik.

“Dengan nisbah modal ekuiti biasa Tahap 1 (CET1) sebanyak 23 peratus, CIMB melihat ruang untuk mengoptimumkan modal, berpotensi ke arah 20 peratus, walaupun tiada sasaran rasmi ditetapkan.

“CIMB kekal berdisiplin dalam pendekatannya terhadap penggabungan dan pengambilalihan, dengan hanya mempertimbangkan peluang pemerolehan tambahan berskala kecil dalam bidang seperti pengurusan kekayaan, perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perbankan Syariah Niaga, sambil mengetepikan urus niaga berskala besar,” katanya.

Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd dalam nota berasingan berkata CIMB memiliki 92.5 peratus kepentingan dalam CIMB Niaga.

Sekiranya CIMB Niaga diswastakan pada harga semasa 1,550 rupiah sesaham, nilai pembelian dianggarkan sebanyak 2.95 trilion rupiah (RM670 juta). Pada premium 30 peratus, nilai itu dianggarkan meningkat kepada 3.84 trilion rupiah (RM871 juta), kata bank itu.

 “Justeru itu, kami menganggarkan pengurangan sebanyak 18 hingga 23 mata asas daripada nisbah CET1 terkini sebanyak 13.9 peratus. Bagaimanapun, kami menjangkakan pengurangan itu lebih hampir kepada paras bawah julat berkenaan.

“Pihak pengurusan menegaskan bahawa keutamaan adalah menggunakan modal sesedikit mungkin. Oleh itu, pengumpulan pegangan dijangka dilakukan secara beransur-ansur mengikut peluang yang ada,” katanya.

Pada 10.55 pagi, saham CIMB susut dua sen kepada RM7.13, dengan 4.26 juta unit bertukar tangan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement