CIMB sertai inisiatif PBB untuk perjuang perbankan mampan, bertanggungjawab

Bernama
Ogos 26, 2018 21:17 MYT
Tengku Zafrul berkata, CIMB Group komited sepenuhnya untuk mencapai matlamat UNEP-FI bagi membantu mengubah amalan perbankan global dan memastikan terciptanya impak positif. - Gambar hiasan
CIMB Group Holdings Bhd akan memperjuangkan perbankan yang mampan dan bertanggungjawab dengan menjadi kumpulan perbankan pertama di Malaysia dan ASEAN untuk menyertai Prinsip Inisiatif Kewangan Program Persekitaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Perbankan Bertanggungjawab (UNEP-FI) .
Ia juga akan menjadi ahli pengasas inisiatif yang mampan tersebut bersama dengan 26 bank terkemuka dari lima benua dan 19 negara.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, CIMB mengumumkan keahlian rasminya dalam UNEP-FI yang akan membantu mentakrifkan semula peranan dan tanggungjawab industri perbankan global dalam membentuk masa depan yang lebih mampan.
"Sebagai sebuah bank sejagat yang terkemuka di ASEAN, kami selalu menganggap peranan kami sebagai melampaui usaha menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang hebat.
"Kami dengan sukacitanya memainkan peranan yang lebih aktif dan bermakna dalam membentuk masa depan yang mapan di planet kita dengan memperjuangkan perbankan yang bertanggungjawab di seluruh dunia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz.
Beliau berkata, kumpulan itu komited sepenuhnya untuk mencapai matlamat UNEP-FI bagi membantu mengubah amalan perbankan global dan memastikan terciptanya impak positif bukan sahaja secara ekonomi, tetapi juga dari segi sosial dan alam sekitar.
"Keanggotaan CIMB dalam inisiatif ini melengkapi strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai Bank Negara Malaysia bagi industri perbankan Islam serta inisiatif kumpulan sendiri untuk menanam kemapanan ke dalam semua aspek operasi kami di seluruh kumpulan, yang akan menjadi fokus utama dalam pelan pertumbuhan jangka sederhana seterusnya," tambah Tengku Zafrul.
-- BERNAMA
#ASEAN #bank #Bank Negara Malaysia #CIMB #ekonomi #Islam #Malaysia #nilai #PBB #Perbankan Bertanggungjawab #perbankan global #Tengku Zafrul Aziz #UNEP-FI