Citi Research saran beli saham Astro

Luqman Hariz
Mei 27, 2019 11:51 MYT
Selain jangkaan peningkatan harga, Citi berkata usaha Astro mempelbagaikan pendapatannya kurang dihargai pada ketika ini.
Firma penyelidikan Citibank, Citi Research hari ini menaik taraf penarafan saham Astro daripada “Neutral” kepada “Beli”.
Dalam satu laporan hari ini, firma itu berkata harga saham Astro sedang melalui kitaran menurun dan dijangka bakal meningkat semula.
Ini memberi peluang untuk keuntungan pembeli dimaksimumkan sekarang, menerusi pembelian
saham tersebut dengan harga yang rendah pada ketika ini.
Citi Research menambah, ia juga membuat saranan berkenaan berdasarkan inisiatif Astro untuk mempelbagaikan pendapatannya kini.
“Walaupun cabaran struktural kekal ada, pelbagai usaha Astro untuk mengubah model perniagaannya kepada model jangka panjang yang lebih mampan nampaknya tidak dihargai di peringkat ini, termasuk usahanya memantapkan produk jalur lebar, beli-belah dari rumah, kandungan, filem dan e-sukan.
“Usaha untuk meningkatkan kandungan tempatan mungkin akan memberikan Astro pegangan yang lebih kukuh terhadap segmen penonton dan mengurangkan pendedahan Astro terhadap kadar tukaran asing (dari pembelian kandungan asing),” katanya.
Ia menambah, walaupun pendapatan Astro berada pada trend menurun ketika ini, usaha mempelbagaikan pendapatan akan membolehkannya memperolehi model perniagaan baru yang membuahkan kurang keuntungan, tetapi lebih stabil.
Firma itu menambah, ia juga berpendapat kebimbangan mengenai kemerosotan ringgit sedikit keterlaluan.
Sementara ia juga menjangka Astro akan berupaya membayar dividen sekitar 7 peratus sehingga sekurang-kurangnya 2022.
#Astro #Bursa Malaysia #Citi Research #citibank #kadar tukaran asing #kandungan asing #kandungan tempatan #kemerosotan ringgit #mempelbagaikan pendapatan #saham #untung