Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) akan memberi tumpuan kepada beberapa teras utama termasuk reformasi pentadbiran awam dalam rancangan pemulihan ekonomi jangka panjang berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan menerusi EAC telah mengadakan beberapa siri bengkel dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Katanya, bengkel yang diadakan di Institut Pentadbiran Awam Negara (Intan) di sini merupakan siri ke-5 yang dianjurkan EAC.

"Antara bengkel yang dilakukan oleh EAC setakat ini, adalah kesediaan tenaga kerja masa depan, memperkasakan ekonomi digital, persiapan untuk perubahan landskap global dan meningkatkan kualiti peraturan dan pasaran.

"Adalah diharapkan agar perkara yang dibincangkan ini disenaraikan dalam setiap perancangan kerajaan meliputi Bajet 2021, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Sederhana dan Panjang serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," katanya ketika berucap dalam Siri Bengkel EAC: Kerajaan dan Institusi Awam pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Mohamad Shukor Mahfar dan Pengasas bersama iA Group Sdn Bhd, Datuk Dr Hamzah Kasim.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, usaha yang dilaksanakan EAC juga adalah untuk mencari peluang dan langkah baharu yang boleh diperkenalkan serta dipraktikkan untuk mengembalikan kedudukan ekonomi pada tahap yang stabil.

"Perkhidmatan awam merupakan sektor penting dalam kerajaan dan tujuan bengkel ini untuk melihat bagaimana pentadbiran awam mampu bertahan dalam menempuh cabaran masa depan khususnya pasca COVID-19," ujarnya lagi.