BUSINESS

CUCKOO Malaysia sasar RM184.8 juta melalui IPO

Ian Johan Ariff 27/03/2025 | 08:40 MYT
Pelancaran prospektus IPO CUCKOO Malaysia disempurnakan pada Rabu. - Foto CUCKOO Malaysia.
SUBANG JAYA: CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia), menyasarkan untuk mengumpul RM184.8 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).


Ringkasan AI
  • CUCKOO Malaysia menyasarkan untuk mengumpul RM184.8 juta melalui IPO dengan penerbitan 143.28 juta saham baharu pada harga RM1.29 sesaham.
  • Dana yang diperoleh akan digunakan untuk memperluaskan perniagaan, membayar balik pinjaman bank, meningkatkan sistem IT, dan membuka lebih banyak kedai jenama.
  • Penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia dijadualkan pada 30 April 2025 dengan jangkaan permodalan pasaran sebanyak RM1.85 bilion.


IPO melibatkan penerbitan 143.28 juta saham baharu pada harga terbitan RM1.29 sesaham.

Majlis pelancaran prospektus IPO CUCKOO Malaysia berlangsung di ibu negara pada Rabu, menandakan fasa baharu dalam pertumbuhan syarikat itu.

Menurut Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon, dana yang diperoleh akan digunakan bagi memperluaskan perniagaan, pembayaran balik pinjaman bank dan meningkatkan sistem IT serta pembukaan lebih banyak kedai jenama.

“Tujuan pertama adalah untuk mengembangkan perniagaan sewaan kami. Kita akan tambah SKU lagi.

“Sekarang anda nampak kita ada SKU banyak tapi kami akan tambah lagi, dengan pelancaran sofa bed, penapis air di bawah sinki.

“Kedua, kami juga akan menggunakan saluran omni (omni-channel distribution network) dan mempertingkatkan lagi kehadiran kami di luar talian dan dalam talian bagi meningkatkan kepuasan pelanggan serta titik sentuhan pelanggan.

“Ketiga, sudah tentu kami ingin meningkatkan kecekapan operasi.

“Operasi perlu berkesan kerana sebagai sebuah syarikat awam, kami ingin memastikan setiap operasi yang dijalankan memberi makna kepada syarikat,” kata Kian Choon.

Tawaran IPO untuk pelabur runcit kini dibuka dan akan ditutup pada 10 April 2025.

Penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) dijadualkan pada 30 April 2025 dengan jangkaan permodalan pasaran sebanyak RM1.85 bilion.

CUCKOO Malaysia telah berkembang pesat sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2014, bermula dengan pengedaran periuk nasi dan penapis air beralkali ringan.

CUCKOO Malaysia kemudian menawarkan pelbagai produk termasuk peralatan rumah, penjagaan kulit, makanan bernutrisi serta servis penjagaan rumah menerusi empat segmen bisnesnya iaitu CUCKOO, CUCKOO Co-Created, WonderLab dan WonderDewi serta WonderKlean.

Dengan langkah penyenaraian di pasaran utama ini, CUCKOO Malaysia yakin dapat memperkukuhkan kedudukan mereka dalam industri dan menyediakan lebih banyak penyelesaian kediaman sihat yang lebih holistik kepada pengguna di Malaysia, Singapura, dan Brunei.



#Cuckoo #IPO #WonderLab #WonderDewi #WonderKlean