KUALA LUMPUR: Juwai IQI menjangkakan langkah Singapura menggandakan cukai hartanah bagi bukan pemastautin pada minggu lalu berkemungkinan mendorong peningkatan kira-kira 15 peratus pembelian asing di Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Singapura menggandakan kadar cukai bagi warga asing yang membeli hartanah kediaman daripada 30 peratus kepada 60 peratus untuk mengelakkan daya apungan susulan permintaan hartanah mewah yang berlebihan daripada pembeli luar negara serta mengekalkan kemampuan memiliki rumah rakyat tempatan.

Kumpulan teknologi hartanah global itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata langkah tersebut akan mendorong lebih ramai pembeli asing kelas atasan untuk membeli hartanah di Malaysia, terutamanya di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kebanyakan pembeli yang beralih arah ini akan mencari hartanah bernilai RM2 juta ke atas," katanya.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari menjangkakan peningkatan ketara pembeli asing yang mencari hartanah di Malaysia susulan pelaksanaan cukai baharu itu.

"Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pelaksanaan cukai baharu itu. Malaysia terletak bersebelahan dengan Singapura, jadi sewajarnya menjadikan ia tempat pertama yang menjadi pilihan kepada pembeli.

"Malaysia memiliki pelbagai pasaran hartanah metro yang setanding dengan keseluruhan pasaran Singapura, yang mudah untuk menampung sebilangan besar pembeli asing dari Singapura," katanya.

Ansari juga berkata banyak perniagaan dan pejabat keluarga yang berpusat di Singapura telahpun mempunyai pelaburan di Malaysia, yang membantu menjadikan kedua-dua negara sebagai rakan kongsi kedua terbesar antara satu sama lain dengan perdagangan rentas sempadan tahun lepas melebihi US$110 billion (US$1=RM4.46).

"Malaysia sangat mengalu-alukan pelaburan hartanah asing, dan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang disemak semula jelas disasarkan kepada pemohon yang lebih berkemampuan," katanya.

Beliau juga berkata jualan rumah Malaysia berjumlah RM94.3 bilion tahun lepas, dengan urus niaga hartanah mewah menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan, atau RM14 bilion.

"Gelombang baharu pembeli asing bakal memberikan prospek yang baik kepada situasi hartanah tidak terjual, memandangkan 14 peratus kediaman tidak terjual berada dalam julat harga tertinggi iaitu RM1 juta dan ke atas," katanya.

-- BERNAMA