KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mempamerkan dagangan bercampur-campur pada sesi awal urus niaga pagi ini dengan sentimen yang lebih berhati-hati berikutan penurunan Wall Street semalaman, kata seorang peniaga.

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.79 mata kepada 1,467.43 daripada 1,464.64 pada penutupan urus niaga Khamis.

Indeks utama memulakan dagangan dengan 0.41 mata lebih baik pada 1,465.05.

Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan negatif menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 217 berbanding 140, manakala 285 kaunter tidak berubah, 1,532 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 366.80 juta unit bernilai RM150.08 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street mengakhiri urus niaga lebih rendah semalam apabila timbulnya kebimbangan terhadap pelarasan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang mungkin lebih tinggi daripada jangkaan.

Beliau berkata Purata Perindustrian Dow Jones merosot 249 mata dan Nasdaq kehilangan 121 mata, manakala hasil 10 tahun Perbendaharaan AS lebih tinggi pada 3.66 peratus.

"Di dalam negara, kegiatan jualan saham mewah berterusan terutamanya saham telekomunikasi dan berkaitan tenaga.

"Indeks penanda aras menyusut kerana sentimen masih tidak menentu berikutan aktiviti jualan berterusan oleh dana asing memandangkan kegiatan memburu saham murah yang dinanti-nantikan tidak menjadi kenyataan," katanya kepada Bernama.

Justeru, Thong berpendapat pasaran akan menantikan pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Feb dan mengunjurkan indeks berada dalam julat kecil antara 1,460-1,470 hari ini.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa - Maybank menokok empat sen untuk mencatatkan paras RM8.66, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.16, CIMB meningkat lima sen menjadi RM5.42 dan TNB memperoleh dua sen kepada RM9.55 manakala Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM8.19.

Bagi saham aktif, Sapura Energy, MY E.G. Services dan Velesto Energy naik setengah sen setiap satu kepada untuk mencatatkan harga lima sen, 72 sen dan 22.5 sen.

YGL Convergence turut meraih 3.5 sen kepada 22 sen dan PT Resources Holdings menokok dua sen menjadi 66 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 16.35 mata kepada 10,711.35, Indeks FBMT 100 menambah 17.13 mata menjadi 10,376.65 manakala Indeks FBM 70 lebih tinggi 11.52 mata kepada 13,624.45.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah turun 9.38 mata kepada 11,037.14 dan Indeks FBM ACE kerugian 35.58 mata kepada 5,776.89.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 8.96 mata kepada 6,887.75, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 87.97 mata menjadi 16,003.18, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.49 mata kepada 189.84 dan Indeks Tenaga kerugian 0.21 mata kepada 884.67.

-- BERNAMA