BISNES

Dagangan saham FGV digantung sementara di Bursa Malaysia

Bernama 25/08/2025 | 13:45 MYT
Sehingga penutupan dagangan pada 22 Ogos 2025, saham FGV diniagakan pada harga RM1.30 sesaham. - Gambar fail/DagangNews
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia telah meluluskan penggantungan sementara dagangan saham FGV Holdings Bhd (FGV) berkuat kuasa pada hari ini susulan kejayaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mencapai pemilikan melebihi 90 peratus pegangan saham dalam syarikat itu.

FELDA berkata pengambilalihan saham FGV itu dibuat melalui Tawaran Pengambilalihan Sukarela Tanpa Syarat (VTO) pada 29 Julai 2025, sekali gus memenuhi syarat untuk penarikan balik status penyenaraian saham FGV daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.

"Penggantungan dagangan ini adalah sebahagian daripada proses akhir ke arah penyahsenaraian FGV daripada Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 28 Ogos 2025," kata FELDA menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, sehingga penutupan dagangan pada 22 Ogos 2025, saham FGV diniagakan pada harga RM1.30 sesaham.

"Dengan kejayaan tawaran ini, kumpulan FELDA termasuk Persons Acting in Concert (PAC) kini memperoleh 95.29 peratus daripada jumlah keseluruhan saham FGV," katanya.

Bagaimanapun, Lembaga itu berkata pemegang saham yang menolak tawaran VTO (Dissenting Holders) masih boleh melaksanakan hak bagi menjual pegangan saham FGV kepada FELDAsehingga 15 Januari 2026 sebelum 5.00 petang berdasarkan Notis yang dikemukakan oleh FELDA bertarikh 22 Ogos 2025.

"Sehubungan itu, FELDA menggalakkan semua pemegang saham yang belum menerima tawaran untuk berbuat demikian sebelum tempoh tamat," katanya.

Menurut FELDA, langkah yang diambil itu adalah sebahagian daripada strateginya untuk memperkukuh kedudukan korporat kumpulan, sekai gus memberi nilai tambah kepada semua pemegang kepentingan khususnya warga peneroka.

-- BERNAMA

#Bursa Malaysia #FGV #PAC #warga peneroka