Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking menyeru para pelabur Jepun untuk memanfaatkan anjakan transformasi digital Malaysia.

Beliau menjelaskan Malaysia komited untuk melaksanakan usaha transformasi digital, antara lain melalui pelan hala tuju strategik e-dagang serta penglibatan negara di peringkat antarabangsa.

"Usaha ini mencerminkan keazaman Kerajaan Malaysia untuk memacu negara menjadi sebuah negara digital dan dengan itu mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada para pelabur yang mahu menjalankan perniagaan di sini," katanya semasa di Seminar Peluang Perniagaan di Malaysia di Kobe pada Jumaat.

Darell merupakan salah seorang anggota panel pada seminar yang turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud.

Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Wan Latiff Wan Musa dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurut Darell, terdapat beberapa pilihan bagi pelabur Jepun untuk memanfaatkan inisiatif Malaysia mengenai transformasi digital seperti penyediaan operasi serta permohonan status MSC Malaysia.

"Berkait dengan pendigitalan, pelabur Jepun boleh memohon status MSC Malaysia yang menyediakan pelbagai insentif, hak dan keistimewaan bagi merangsang pertumbuhan merangkumi perniagaan yang berhubung rapat dengan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) untuk syarikat tempatan dan asing," katanya lagi.

Pengecualian cukai juga akan diberikan untuk pendapatan yang terhasil daripada aktiviti perkhidmatan atau harta intelek.

Darell menegaskan pelabur Jepun boleh bekerjasama dengan syarikat tempatan yang mempunyai akses kepada Dana Pelaburan Strategik Domestik yang berjumlah RM1 bilion.

Dana tersebut ditubuhkan untuk mempercepatkan peralihan syarikat milik Malaysia dalam industri yang disasarkan kepada industri yang mempunyai nilai tambahan yang tinggi, berteknologi, berintensifkan pengetahuan dan berasaskan inovasi.

"Dana ini bertujuan bagi memanfaatkan peluang penyumberan luar yang diwujudkan oleh syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia, memperhebatkan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan termasuk membolehkan syarikat Malaysia mendapatkan piawaian atau persijilan dalam industri strategik," katanya.

Melaui kerjasama dengan syarikat Malaysia, pelabur Jepun boleh menikmati inisiatif yang disediakan kepada syarikat tempatan seperti Program Transformasi Pecutan Digital (DTAP) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Ditubuhkan untuk syarikat besar dan syarikat pertengahan, DTAP merupakan program yang bertujuan membantu perniagaan mencapai peningkatan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing serta mewujudkan sumber baharu pertumbuhan atau model perniagaan," katanya.

DTAP, sebuah perkongsian antara MDEC dan MIDA, disertakan bersama dengan geran pemadanan berasaskan hasil.

"Geran ini diwujudkan dengan tujuan membantu syarikat untuk memanfaatkan kepakaran makmal transformasi digital termasuk bantuan dalam menangani cabaran atau mengeksploitasi peluang dalam ruang digital, di samping mengguna pakai teknologi digital yang baru muncul," katanya.

Selain itu, pelabur Jepun juga boleh memanfaatkan ekosistem pemula niaga Malaysia yang teguh dan menggunakan inisiatif Hab Digital Malaysia.

"Hab Digital Malaysia merupakan inisiatif yang menyokong teknologi dan ruang kerja bersama digital.

"Hab digital adalah pusat yang menawarkan pemula niaga peluang untuk berkembang secara global, mempunyai akses bagi sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi, peluang pembiayaan dan pemudahan termasuk ekosistem tenaga kerja sedia ada, antara lain," tambahnya.

Kerajaan juga telah mengumumkan inisiatif baharu dalam Belanjawan 2020 untuk meningkatkan lagi transformasi digital seperti pakej insentif khas.

"Insentif pakej disesuaikan bernilai RM1 billion disediakan bagi menarik pelaburan daripada syarikat Fortune 500 dan 'Unikorn' global dalam industri berteknologi tinggi, pembuatan, sektor kreatif dan ekonomi baharu, yang diperuntukkan setiap tahun mulai 2020 sehingga 2024," kata Darell.

Untuk layak, Fortune 500 dan 'Unikorn' global ini harus melabur sekurang-kurangnya RM5 bilion di Malaysia dalam teknologi tinggi terpilih yang berasaskan pengetahuan dan bersifat strategik.

Projek-projek yang dimaksudkan merangkumi elektronik dan pengkomputeran termaju, semikonduktor lanjutan, litar bersepadu, kecerdasan buatan, peranti perubatan, bioteknologi, farmaseutikal, biodiagnostik, bahan kimia khusus, aeroangkasa dan teknologi hijau serta berkebolehan dalam memperkukuhkan ekosistem pembuatan dan perkhidmatan Malaysia.

Satu lagi inisiatif ialah "Global TestBed", yang menyediakan syarikat luar dengan platform untuk menguji, membangun dan mewujudkan teknologi serta produk baharu di Malaysia untuk memupuk ekosistem teknologi baharu dengan tadbir urus yang betul termasuk struktur dan dasar yang menggalakkan inovasi.

Selain daripada inisiatif ini, pelaburan di Malaysia akan membolehkan pelabur Jepun mendapatkan ekosistem bakat berteknologi tinggi negara yang dilahirkan oleh institusi pendidikan tempatan.

Malaysia juga menawarkan Visa untuk Pekerja Asing Berpengetahuan bagi memudahkan proses mereka datang bekerja ke negara ini.

"Antaranya ialah Program Usahawan Teknologi Malaysia yang merupakan satu inisiatif Kerajaan Malaysia untuk menarik usahawan teknologi asing sama ada pengasas atau pengasas bersama dari seluruh dunia dan membantu mereka menubuhkan serta membangunkan syarikat pemula niaga mereka di Malaysia," katanya.

Sementara itu, pelaburan di Malaysia juga akan memberikan pelabur Jepun akses kepada bursa analisis data ASEAN (ADAX).

"ADAX merupakan hab teknologi data untuk mengembangkan pembuatan keputusan yang berasaskan data, memangkinkan pembangunan bakat dan akses kepada ekosistem data yang pelbagai bagi pelabur untuk memupuk kerjasama antara perniagaan, pemula niaga, ahli akademik dan profesional supaya kawasan tumpuan ini menjadi sebahagian daripada inovasi perniagaan dan membuat keputusan," katanya.

Beliau menambah dengan peluang akses kepada ADAX, pelabur Jepun boleh meneroka ekosistem teknologi data di ASEAN.

Seminar di Jepun itu dianjurkan bersempena dengan misi perdagangan serta pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang diketuai oleh Darell, mulai Jumaat sehingga 5 Dis.

-- BERNAMA