BISNES

Dari dunia penerbangan, Kamarudin Meranun kini teroka pasaran lampin bayi

Astro Awani 03/12/2025 | 03:50 MYT
Menurut Kamarudin, penglibatannya dalam bidang industri lampin bayi bertitik tolak pada keyakinannya terhadap pasaran besar yang ditawarkan perniagaan itu.
KUALA LUMPUR: Selepas dua dekad mengubah landskap penerbangan Asia melalui syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun kini mengorak langkah baharu yang tidak kurang besar maknanya – melindungi kulit bayi di seluruh dunia.

Beliau melancarkan jenama MILK Baby Diapers, lampin bebas bahan kimia yang menekankan keselamatan dan keselesaan.

Menurut Kamarudin, penglibatannya dalam bidang industri lampin bayi bertitik tolak pada keyakinannya terhadap pasaran besar yang ditawarkan perniagaan itu.

Jelas beliau, lampin bayi merupakan pasaran yang luas besar, tetapi kebanyakan produk menggunakan bahan kimia berbahaya, terutama untuk warna dan corak menarik.

Atas kesedaran itu, MILK, katanya, memilih pendekatan minimalis dengan hanya dua warna – putih dan biru – tanpa sebarang corak, sebagai komitmen terhadap keselamatan kulit bayi.

"Produk ini dicipta menggunakan teknologi tinggi dan diuji terhadap 728 potensi bahan kimia, bebas klorin, pewangi dan pewarna karsinogenik.

"Ia juga disahkan dermatologi sebagai selamat untuk kulit sensitif, menjadikannya pilihan premium pada harga mampu milik," ujar Kamarudin pada majlis pelancaran MILK di ibu negara, baru-baru ini.



Dalam tempoh kurang setahun, MILK, sudah berada di 10 negara termasuk Malaysia, Singapura, India, Rusia dan Maldives.

Sambutan luar biasa ini turut membawa kepada tiga anugerah antarabangsa, antaranya Baby Innovation Awards (USA) bagi kategori “Rash-Free Diaper Product of The Year 2025.”

Kamarudin menegaskan, pendekatan perniagaan MILK sama seperti AirAsia – bukan mengejar keuntungan jangka pendek, tetapi skala global.

"Jenama ini menyasarkan pasaran 20 negara menjelang tahun hadapan, dengan sasaran jualan 10 juta unit lampin," kata Kamarudin lagi.

Dalam masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah kesihatan kanak-kanak, termasuk kes kanser pada usia muda.

Kamarudin optimis pendedahan berterusan terhadap bahan kimia harian mungkin menjadi salah satu faktor, dan MILK berperanan mendidik ibu bapa tentang kepentingan produk bebas risiko.

“Dunia semakin sedar tentang kesihatan dan keselamatan. Ini bukan soal lampin saja, tetapi soal pendedahan jangka panjang. Sebab itu kami mahu mendidik dan melindungi,” jelas beliau.

Dengan falsafah ketulenan yang diwakili oleh nama MILK, Kamarudin berharap jenama ini bukan sahaja menjadi pilihan ibu bapa, tetapi juga simbol komitmen terhadap kesihatan generasi masa depan.



#Kamarudin Meranun #lampin bayi #MILK Baby Diapers #AirAsia