[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
BISNES

Dari jalanan ke jenama nasional, PauDeen jadi pentas rezeki belia dan asnaf

Amzar Alif 19/09/2025 | 10:06 MYT
Wan Mohd Saipuddin (tengah, bertopi hitam), bersama rakan strategik dan wakil pihak berkepentingan yang menyokong inisiatif Choley PauDeen. - Foto PauDeen
KOTA BHARU: Daripada hanya berniaga pau di tepi jalan bersama isteri pada 2018, Wan Mohd Saipuddin Wan Abd Rasid kini membuktikan bahawa kejayaan sebenar lahir daripada usaha gigih dan semangat memberi semula kepada masyarakat.

Melalui jenama PauDeen, beliau bukan sahaja dinobatkan sebagai juara Pentas Jual Jelajah Jiwa SME 2025 edisi Kelantan, malah kini menjadi inspirasi ramai apabila produk keluarannya mampu menjadi platform rezeki untuk golongan belia dan asnaf.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana dinobatkan sebagai juara edisi Kelantan, dan ini merupakan peluang untuk saya memperkenalkan lagi jenama PauDeen di mata Malaysia,” katanya kepada Astro AWANI.

Inovasi inti jadi kekuatan PauDeen

Membawa tagline “Semewah Inti, Sepuas Rasa”, PauDeen mengetengahkan inovasi inti sebagai kekuatan utama produk.

“Pau biasanya sinonim dengan kelembutan, tetapi kami tak nak berlawan dari segi tekstur saja. Kami tampilkan keunikan inti seperti Pau Cheesy Bolognese, Pau Coklat Meleleh, dan yang terbaharu Pau Chicken Prosperity,” jelas beliau.

Mengakui perniagaan bukan semata-mata soal untung, beliau kini menerajui Saipuddin Empire Sdn Bhd bersama 30 kakitangan, selain terus memperkenal variasi baharu yang selari dengan cita rasa pengguna masa kini.

“Kita dapat banyak maklum balas positif, dan Alhamdulillah semuanya kena dengan selera rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

PauDeen angkat inovasi tempatan, bantu belia dan asnaf jana pendapatan


Gerai bergerak ‘Choley’ bantu belia pendapatan

xxx


Lebih membanggakan, PauDeen juga memperkenalkan konsep gerai bergerak Choley PauDeen, yang membuka ruang pendapatan kepada ramai belia dan asnaf, terutama di kawasan luar bandar.

“Dengan konsep ini, ada usahawan muda yang mampu capai pendapatan bersih RM3,000 hingga RM8,000 sebulan. Kami sediakan platform, mereka bawa semangat dan usaha,” katanya.

Beliau turut berharap agar inisiatif ini terus dikembangkan ke seluruh negara, selari dengan hasrat untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Harapan saya, lebih ramai anak muda dan golongan asnaf di Malaysia boleh jana pendapatan dengan berniaga PauDeen, sambil banggakan produk tempatan,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk atau ingin menjana pendapatan, PauDeen kini aktif di media sosial dan boleh diikuti menerusi TikTok dan Facebook rasmi mereka.


#PauDeen #pau meleleh #pau sedap Kota Bharu #Wan Mohd Saipuddin Wan Abd Rasid #JIWA SME 2025 #Pemenang Pentas Jual