BISNES

Dasar fiskal kerajaan untuk imbangi pertumbuhan ekonomi dan keperluan rakyat - Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Bernama 20/10/2025 | 03:50 MYT
Johan berkata, kerajaan harus mengelak daripada mengurangkan defisit terlalu cepat kerana ia masih perlu menangani keperluan rakyat yang digariskan dalam Belanjawan 2026. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Dasar fiskal kerajaan kekal komited untuk menyokong objektif pembangunan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, kerajaan berdedikasi kepada pengurusan fiskal yang bertanggungjawab serta memastikan sokongan fiskal yang mencukupi disediakan untuk pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan akan mengimbangi objektif itu dengan memastikan ia masih menyediakan sokongan fiskal mencukupi tetapi yang lebih penting, kita mempunyai perbelanjaan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat terutamanya keperluan pembangunan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Dalam meneruskan penyatuan fiskal, Johan berkata, kerajaan harus mengelak daripada mengurangkan defisit terlalu cepat kerana ia masih perlu menangani keperluan rakyat yang digariskan dalam Belanjawan 2026 kerana ia adalah perbelanjaan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Menurutnya, Kerajaan MADANI telah mencapai kemajuan yang ketara dalam penyatuan fiskal sejak memegang jawatan dengan defisit berkurangan daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada lima peratus pada 2023, 4.1 peratus pada 2024 dan berada di landasan yang betul untuk mencapai 3.8 peratus tahun ini.

Beliau berkata, mengurus dasar fiskal yang bertanggungjawab ialah tindakan mengimbangi, untuk memberi keyakinan kepada pelabur, pada masa sama memastikan perbelanjaan mencukupi untuk pembangunan rakyat.

"Sebagai contoh, tahun ini, kerajaan membelanjakan RM66 bilion untuk pendidikan, manakala peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion, jumlahnya lebih tinggi berbanding 2022," katanya.

Johan berkata, pengukuhan ringgit tahun ini, bersama-sama dengan kedudukan Malaysia yang bertambah baik dalam Kedudukan Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) dan pelaburan diluluskan lebih tinggi, mencerminkan keyakinan pelabur semakin meningkat di Malaysia.

"Justeru adalah penting untuk kita terus memupuk keyakinan dalam pengurusan fiskal yang bertanggungjawab di kalangan pelabur. Akhirnya, apa yang paling penting ialah ia diterjemahkan kepada rakyat kerana antara petunjuk positif yang kita lihat ialah kadar pengangguran menurun," katanya.

Pertumbuhan empat peratus tahun depan berada dalam jangkauan

Johan berkata, kerajaan tetap yakin dapat mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya empat peratus tahun depan, memandangkan prospek dijangka lebih rendah, penting bagi kerajaan mengekalkan sokongan fiskal yang mencukupi untuk ekonomi.

Sehubungan itu, kerajaan mengekalkan pendirian fiskal yang mengembang dengan Belanjawan 2026 ditetapkan pada RM470 bilion, peningkatan positif berbanding RM452 bilion dalam belanjawan sebelumnya.

"Terdapat pertumbuhan apabila kita mengambil kira perbelanjaan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

"Walaupun dengan ketidaktentuan yang wujud daripada senario global, kami telah melihat bahawa ekonomi negara telah menunjukkan daya tahan yang kukuh. Pada separuh pertama 2025, Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus.

"Memandangkan ketidaktentuan global, kami mahu memastikan bahawa terdapat sokongan fiskal mencukupi untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi," katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini mengeluarkan anggaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) lanjutan, mengunjurkan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025.

-- BERNAMA



#dasar fiskal kerajaan #Belanjawan 2026 #RMK13 #Johan Mahmood Merican