Skip to main content

Bisnes

Dasar Kelulusan 100 Hari percepat urusan tanah daripada 270 hari – PTG Selangor

(Dari kiri) Timbalan Pengarah (Pengurusan) Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Mohd Norshahnaz Md. Zahir dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Dr. Ani Ahmad dalam temu bual Investment Insider terbitan Astro AWANI. - foto/Astro AWANI
(Dari kiri) Timbalan Pengarah (Pengurusan) Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Mohd Norshahnaz Md. Zahir dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Dr. Ani Ahmad dalam temu bual Investment Insider terbitan Astro AWANI. - foto/Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Dasar Kelulusan 100 Hari Selangor mempercepatkan kelulusan pembangunan tanah daripada 270 hari kepada 100 hari, mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kepastian pelabur.
  • Proses pentadbiran tanah dan permohonan kebenaran merancang kini dilaksanakan secara selari, disokong mekanisme pembayaran deposit premium melalui Pekeliling PTG Selangor 2020.
  • Inisiatif SPEED Selangor menyasarkan kelulusan pembangunan dan pelesenan perniagaan dipendekkan kepada maksimum 30 hari bagi projek industri dan komersial berimpak tinggi.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Dasar Kelulusan 100 Hari oleh kerajaan Selangor membolehkan proses kelulusan pembangunan tanah dipercepatkan daripada tempoh sehingga 270 hari kepada sasaran 100 hari, sekali gus mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kepastian kepada pelabur yang ingin melaksanakan projek pembangunan di negeri itu.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Mohd Norshahnaz Md. Zahir berkata, dasar yang diperkenalkan sejak 2020 itu membolehkan urusan pentadbiran tanah dan permohonan kebenaran merancang dilaksanakan secara selari, berbanding pendekatan terdahulu yang memerlukan kedua-dua proses diselesaikan secara berperingkat.

"Pada 2020, kerajaan negeri memperkenalkan Dasar Kelulusan 100 Hari yang membolehkan kelulusan pembangunan tanah diperoleh dalam tempoh 100 hari.

"Sebelum ini, pemaju perlu melalui proses biasa dengan mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlebih dahulu, sebelum datang kepada kami untuk menyelesaikan urusan berkaitan tanah. Keseluruhan proses itu boleh mengambil masa lebih setahun.

"Melalui dasar baharu ini, kedua-dua agensi iaitu PBT dan pentadbiran tanah, boleh menjalankan proses kelulusan secara selari dalam tempoh 100 hari, berbanding kaedah terdahulu yang boleh mengambil masa sehingga 270 hari," katanya dalam program Investment Insider terbitan Astro AWANI pada Isnin.

Dasar tersebut dilaksanakan menerusi Pekeliling PTG Selangor Bilangan 1 Tahun 2020 yang memperkenalkan mekanisme pembayaran deposit premium bagi mempercepatkan urusan pembangunan tanah.

Menurut garis panduan rasmi PTG Selangor, pemohon perlu mengemukakan permohonan kepada PTG dalam tempoh 10 hari bekerja selepas permohonan KM diserahkan kepada Pusat Setempat (OSC) PBT.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pula diperuntukkan tempoh 14 hari untuk mengemukakan nilaian awal tanah kepada PTG bagi menentukan jumlah deposit premium yang perlu dibayar.

Melalui mekanisme berkenaan, pemaju boleh meneruskan permohonan pelan bangunan dan pelan infrastruktur setelah menjelaskan deposit premium, tanpa perlu menunggu keseluruhan urusan berkaitan tanah diselesaikan terlebih dahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Dr. Ani Ahmad berkata, keberkesanan proses kelulusan pembangunan bukan hanya bergantung kepada kecekapan PBT, sebaliknya memerlukan penyelarasan rapat dengan pelbagai agensi teknikal.

Menurutnya, PBT bertindak sebagai penyelaras utama yang menerima permohonan pembangunan sebelum mendapatkan ulasan, keperluan dan sokongan daripada jabatan berkaitan bagi memastikan sesuatu projek boleh dilaksanakan.

"Apabila kami menerima permohonan daripada pelabur untuk membangunkan tanah di kawasan pentadbiran kami, kami perlu menyelaras dengan pelbagai agensi teknikal bagi mendapatkan ulasan mereka.

"Penyelarasan ini amat penting kerana sesuatu pembangunan mungkin sesuai dari sudut penggunaan tanah, tetapi pada masa sama perlu dipastikan juga berdaya maju serta mempunyai sokongan infrastruktur dan kemudahan awam yang mencukupi," katanya.

Antara agensi yang terlibat dalam proses berkenaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan Indah Water Konsortium (IWK), bergantung kepada keperluan pembangunan.

Usaha mempercepatkan kelulusan itu turut diperkukuh melalui inisiatif SPEED Selangor yang dilancarkan pada 2025, dengan sasaran mengurangkan tempoh kelulusan pembangunan serta pelesenan perniagaan daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek industri dan komersial strategik berimpak tinggi.

Menurut dokumen Belanjawan Selangor 2026, inisiatif itu turut melibatkan penyeragaman proses kelulusan di kesemua 12 PBT di Selangor, bagi meningkatkan ketelusan, keseragaman prosedur dan kepastian kepada pelabur tanpa mengabaikan keperluan perancangan serta teknikal.  

Pendekatan tersebut mencerminkan usaha kerajaan negeri memperkukuh ekosistem pelaburan melalui penambahbaikan pentadbiran, dengan kelajuan membuat keputusan dan penyelarasan antara agensi menjadi antara faktor penting dalam menentukan daya saing Selangor sebagai destinasi pelaburan.

Saksikan Investment Insider setiap Isnin, 9 malam, di saluran 501 Astro AWANI, yang mengupas secara mendalam tentang strategi, insentif dan inisiatif pelaburan kerajaan negeri Selangor.

Investment Insider: Accelerating Investment Through Regulatory Reform

Must Watch Video

Advertisement