KUALA LUMPUR: Syarikat hartanah terkemuka, Datumcorp International Sdn Bhd (DCI) tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas diiktiraf memaparkan ‘Jalur Gemilang Terpanjang di Sky Bridge’ ikonik Residensi Datum Jelatek.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Azmil Abd Shukor, berkata idea memaparkan Jalur Gemilang sepanjang 147 kaki itu tercetus sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia sekali gus bagi menyemarakkan semangat patriotik di kalangan rakyat.

Jelasnya, rekod baharu itu merupakan satu lagi penanda aras bagi pencapaian DCI dan memberi inspirasi kepada makna patriotik pada struktur ikonik.

“Dengan adanya Jalur Gemilang berada di atas sana, ia akan menjadi tempat untuk meraikan Residensi Datum Jelatek yang berprestij.

“Jadi kami, DCI sebagai anak syarikat kecil di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sangat berbangga untuk membangunkan projek ini kepada pembeli-pembeli.

“Di samping itu, kami juga menghadiahkan pengiktirafan ini kepada pembeli-pembeli yang telah menaruh kepercayaan terhadap kami sejak ia bermula sehingga tamatnya projek ini,” kata beliau ketika ditemui di bilik pameran Datum Galleria pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif DCI, Mohd Azmil Abd Shukor  ketika mendapat pengiktirafan dan penghargaan Malaysia Book of Records.

Pada masa sama, Azmil berkata penyiapan Jalur Gemilang itu memakan masa lapan hari bermula 10 September hingga 17 September.

Menawarkan fasiliti lengkap dan terletak di lokasi strategik dalam bandar raya Kuala Lumpur, kondominium mewah, Datum Jelatek telah dilancarkan pada 1 Ogos 2013 dan siap sepenuhnya pada 31 Mac 2022.

Berbekalkan seni bina unik dan moden, harga unit kondominium premium itu bermula dari RM750,000 dan ke atas, dengan saiz kediaman bermula dari 557 kaki persegi hingga 1,657 kaki persegi.

Dilancarkan dengan empat menara, iaitu menara A (41 tingkat), Menara B (35 tingkat), Menara C (35 tingkat) dan Menara D (40 tingkat).

Fasa pertama menara kediaman telah terjual lebih 90 peratus, manakala baki dua menara lagi akan dibuka untuk jualan secara berperingkat.

Malaysia Book of Records | Jalur Gemilang terpanjang di Sky Bridge

*Artikel ini adalah kandungan berbayar