BUSINESS
e-Invois tidak membebankan, ini penjelasan LHDN

e-Invois merupakan satu langkah penting dalam usaha memodenkan sistem dokumentasi perniagaan di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan e-Invois di Malaysia menjadi salah satu langkah strategik kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) dalam meningkatkan kecekapan perniagaan dan menggalakkan ketelusan urus niaga.
Menurut Pengarah Bahagian e-Invois HASiL) Rasyidah Che Rosli, walau bagaimanapun, masih ramai yang keliru dan merasakan ia bakal membebankan, khususnya bagi perniagaan kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, berikut adalah lapan fakta penting mengenai e-Invois yang perlu difahami oleh para peniaga di Malaysia:
1. e-Invois tidak membebankan – Mempermudah pengurusan perniagaanTerdapat tanggapan bahawa e-Invois akan menambah beban kepada peniaga kecil. Hakikatnya, e-Invois adalah invois digital yang menggantikan dokumen kertas.
Proses ini mempermudahkan perekodan, mengurangkan risiko kehilangan dokumen, dan menggalakkan ketelusan dalam urus niaga.
Segala maklumat transaksi disimpan secara digital dan boleh diakses dengan mudah melalui Portal MyInvois yang disediakan oleh HASiL.
2. Garis masa pelaksanaan berdasarkan pendapatan tahunan
Pelaksanaan e-Invois dilakukan secara berperingkat berdasarkan pendapatan tahunan, seperti berikut:
• 1 Ogos 2024 – Pendapatan melebihi RM100 juta
• 1 Januari 2025 – Pendapatan antara RM25 juta hingga RM100 juta
• 1 Julai 2025 – Pendapatan antara RM500,000 hingga RM25 juta
• 1 Januari 2026 – Semua kategori pembayar cukai
Rasyidah berkata, pendekatan ini dilaksanakan secara bertahap untuk memastikan perniagaan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan.
3. Platform e-Dagang menguruskan e-Invois bagi peniaga dalam talian
Bagi peniaga yang menjalankan perniagaan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, dan GrabMart, tanggungjawab pengeluaran e-Invois akan diuruskan oleh platform tersebut.
“Peniaga hanya perlu memastikan maklumat profil lengkap dan tepat dikemas kini
“Proses ini menjimatkan masa, mengurangkan beban pentadbiran, dan memastikan rekod transaksi sentiasa tersusun”, kata beliau.
4. Portal MyInvois – Percuma dan mudah diakses
HASiL menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses secara percuma oleh semua pembayar cukai.
Melalui portal ini, peniaga boleh mengeluarkan e-Invois, mengemas kini maklumat perniagaan, dan menyemak transaksi dengan lebih mudah
Bagi pengguna mudah alih, Aplikasi MyInvois juga disediakan di App Store, Google Play, dan AppGallery.
5. Bantuan 24/7 dan sokongan berterusan oleh HASiL
Bagi memastikan peniaga tidak keliru, HASiL menyediakan pelbagai saluran bantuan seperti berikut:
• Meja Bantuan e-Invois (24 Jam, 7 Hari Seminggu) – Hubungi talian 03-8682 8000
• Kaunter Perkhidmatan e-Invois di semua Pejabat HASiL
• Microsite e-Invois – Pelbagai panduan, tutorial, dan maklumat lengkap boleh diakses di laman rasmi HASiL
Sekiranya terdapat sebarang kekeliruan, peniaga boleh terus hadir ke kaunter atau hubungi talian khas untuk bantuan lanjut.
6. Jelajah Mega e-Invois untuk pemahaman lebih jelas
HASiL turut mengadakan program Jelajah Mega e-Invois di seluruh negara, di mana pegawai HASiL turun padang ke premis perniagaan untuk memberikan penerangan dan panduan secara langsung kepada peniaga.
Langkah ini diambil untuk memastikan setiap peniaga mendapat maklumat yang betul dan memahami proses e-Invois dengan lebih baik.
7. Pengecualian untuk perniagaan mikro (Pendapatan di bawah RM150,000)
Kerajaan turut memberi pengecualian kepada peniaga mikro dengan pendapatan tahunan di bawah RM150,000.
“Pengecualian ini diperkenalkan bagi memberi kelonggaran kepada perniagaan kategori mikro yang pendapatannya rendah
“Walaupun dikecualikan, peniaga mikro tetap digalakkan menggunakan e-Invois kerana ia mempermudah proses dokumentasi dan perancangan kewangan”, tambahnya.
8. Manfaat besar kepada penjual dan pembeli
Pelaksanaan e-Invois memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu penjual dan pembeli:
• Penjual – Rekod transaksi lebih kemas, mudah diakses, dan selamat daripada risiko kehilangan dokumen fizikal.
• Pembeli – Tidak perlu risau kehilangan resit fizikal kerana semua transaksi boleh disemak secara digital pada bila-bila masa melalui MyInvois.
e-Invois merupakan satu langkah penting dalam usaha memodenkan sistem dokumentasi perniagaan di Malaysia.
Pelaksanaan yang berperingkat ini bukan sahaja mempermudah urusan perniagaan, malah mengurangkan risiko kesilapan dokumentasi dan meningkatkan ketelusan dalam transaksi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami